Pemegang Pasport Palestin Termasuk 7 Lagi Negara Kini Tak Boleh Masuk AS – Trump
Difahamkan, langkah berkenaan diambil susulan hasrat Trump yang sekian lama berkempen untuk mengetatkan imigresen.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Presiden Donald Trump pada Selasa memperluaskan larangan perjalanan Amerika Syarikat (AS) dengan menyekat kemasukan warga dari tujuh lagi negara, selain pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin
Menerusi laporan Harian Metro, Rumah Putih memaklumkan langkah berkenaan diambil susulan hasrat Trump yang sekian lama berkempen untuk mengetatkan imigresen dan lantang dalam pendiriannya bagi menghalang kemasukan warga asing yang dianggap "berniat mengancam" keselamatan.
Menurut pengisytiharan Rumah Putih, Trump juga mahu menyekat kehadiran warga asing di AS yang boleh menjejaskan atau menggugat kestabilan budaya, kerajaan, institusi atau prinsip pengasas negara itu.
Tujuh negara lain yang turut dikenakan larangan perjalanan penuh adalah Syria dari Timur Tengah, Laos di Asia Tenggara, Burkina Faso, Mali, Niger, Sierra Leone dan Sudan Selatan dari benua Afrika.
Langkah berkenaan diumumkan beberapa hari selepas dua anggota tentera AS dan satu orang awam terbunuh di Syria, sebuah negara yang cuba dipulihkan hubungannya di peringkat antarabangsa oleh Trump sejak kejatuhan pemimpin lama, Bashar al-Assad.
Pihak berkuasa Syria memaklumkan pelaku serangan itu adalah anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya dipecat susulan pegangan "idea-idea Islamis ekstremis."

Pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan secara tidak rasmi melarang perjalanan pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin
Larangan itu dilihat sebagai tanda solidariti terhadap Israel susulan penentangan terhadap pengiktirafan negara Palestin oleh negara-negara Barat utama termasuk Perancis dan Britain.
Dalam siri tindakan baharu, Rumah Putih memaklumkan Trump turut mengenakan sekatan perjalanan separa ke atas warga beberapa negara Afrika lain termasuk Nigeria, negara paling ramai penduduk di benua itu serta sebuah negara Caribbean yang majoriti penduduknya berkulit hitam.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Trump dilihat menggunakan bahasa yang semakin provokatif dalam mengkritik imigran dari Afrika.
Pada satu perhimpunan minggu lalu, Pemimpin itu dilaporkan berkata AS selalu menerima pendatang dari "negara-negara yang sangat teruk" dan sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada imigran dari Norway dan Sweden.
Negara-negara lain yang kekal dalam larangan perjalanan penuh termasuk Afghanistan, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Myanmar, Sudan, dan Yaman.
Dalam pengisytiharan itu, Rumah Putih mendakwa kadar jenayah yang tinggi di beberapa negara yang disenarai hitam selain masalah dengan penyelenggaraan rekod pasport menjadi antara alasan utama sekatan itu.
Namun, pihaknya mengakui terdapat "kemajuan ketara" yang dicapai oleh Turkmenistan dan warga negara Asia Tengah itu kini dibenarkan memohon visa AS semula tetapi terhad kepada visa bukan imigran sahaja.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 