Pemain Beregu Campuran Negara, Toh Ee Wei Terima Hadiah RM50,000 Daripada Kerajaan Negeri Melaka
Ee Wei bersama pasangan beregunya, Chen Tang Jie telah menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2025 Di Paris baru-baru ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Juara Dunia, Toh Ee-Wei terima insentif khas RM50,000 daripada kerajaan negeri kelahirannya susulan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa
Menerusi sebuah hantaran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Facebook, beliau berkata kejayaan Ee Wei bersama gandingannya Chen Tang Jie muncul juara dalam Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis kategori beregu campuran bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa malah turut membanggakan rakyat Melaka.
"Kerajaan negeri amat menghargai pencapaian Toh Ee Wei yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.
"Insentif khas ini diharap menjadi penyuntik semangat kepada lebih ramai anak Melaka untuk berjaya di peringkat dunia," katanya.

Ab Rauf (tengah) menerima kunjungan Ee Wei (dua dari kiri) di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri Ayer Keroh.
Image via FacebookPemain badminton negara itu berhasrat tubuh akademi badminton di Melaka
Dalam pertemuan itu, beliau berkata Ee Wei turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah akademi badminton di Melaka dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi bakat baharu sukan berkenaan.
"Kerajaan negeri menyambut baik cadangan ini kerana ia bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada pembangunan sukan malah menjadi wadah beliau berbakti kepada negeri kelahirannya," katanya.
Terdahulu, kejuaraan yang dikecapi pasangan beregu berkenaan disifatkan hadiah yang bermakna apabila berjaya melakar sejarah menjadi juara dunia pada Hari Kebangsaan yang ke-68.
Gandingan itu berjaya menewaskan pasangan beregu dari China 21-15, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 