Pelajar & Pensyarah Beragama Hindu Di Semua IPTA Dibenarkan Buat Kelas ‘Online’ Sempena Deepavali
Boleh balik kampung awal!
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan pelajar dan kakitangan akademik beragama Hindu di semua universiti awam, politeknik dan kolej komuniti menghadiri kelas secara dalam talian atau melalui sesi hibrid semasa minggu perayaan Deepavali
Fleksibiliti itu akan berkuat kuasa bermula 16 hingga 24 Oktober 2025, sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada hari Isnin, 20 Oktober.
Menurut KPT, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah penganut Hindu menyambut Deepavali bersama keluarga "dalam suasana yang harmoni dan bermakna", selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian budaya Malaysia.
"Bersempena sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) meliputi Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi meraikan perayaan Pesta Cahaya ini.
"Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni dan bermakna, selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia," menurut kenyataan itu

KPT memaklumkan pelaksanaan pengaturan ini masih bergantung kepada kesesuaian dan keperluan akademik setiap institusi
Perkara ini dijelaskan bagi memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.
KPT turut menyampaikan ucapan Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, pelajar dan kakitangan, berharap Pesta Cahaya ini membawa kegembiraan, keamanan dan kemakmuran kepada semua orang.
"Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat, agar tidak menjejaskan perjalanan aktiviti akademik secara keseluruhan.
"KPT turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu," tulis kenyataan itu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



