Pelajar Malaysia Cipta Nama Pelajar Terbaik Di Universiti New York Dalam Bidang Seni Tari

"Arwah ibu saya sentiasa pesan, pedulikan apa masyarakat nak kata yang penting kita tidak menconteng arang di muka keluarga dan mengaibkan diri." – Fairul Zahid

Enlarge text
Cover ImageCover image via SAYS
Logo

Impian untuk menyambung pelajaran ke luar negara mungkin adalah impian bagi ramai orang, apatah lagi tersenarai sebagai pelajar terbaik di universiti

Begitulah yang dikecapi oleh **Fairul Zahid, 28,** salah seorang penuntut dalam bidang seni tari atau lebih spesifik **Master in Fine Arts Choreography and Performance** di **Universiti New York, Amerika Syarikat.**

Image via Fairul Zahid

Berasal dari Johor dan dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, ditambah pula dengan ketiadaan ibu tercinta tidak menghalang Fairul untuk tersenarai sebagai salah seorang pelajar terbaik dalam bidang yang dipelajarinya di universiti berkenaan.

Sepanjang pengajiannya, beliau telah memperoleh Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 dan ini sekaligus membuktikan anak Melayu mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan anak bangsa lain di dunia ini

Dalam temubualnya bersama Sinar Online baru-baru ini, Fairul berkata kejayaan itu bukanlah mudah untuk diperoleh, namun atas semangat yang kental dan rajin berusaha, beliau berhasil memperoleh keputusan cemerlang di universiti berkenaan.

Fairul Zahid (kanan) segak mengenakan Baju Melayu di dalam satu persembahan tari.

Image via Fairul Zahid

Becerita mengenai produksinya, Fairul memberitahu pelbagai cabaran dan halangan yang ditempuhnya sebelum berjaya merealisasikan matlamat tersebut

Beliau berkata lagi bahawa tidak banyak pihak yang ingin menaja produksinya. Namun itu bukanlah satu halangan buat mereka untuk terus berkembang maju. Melalui hasil simpanan selama dua tahun termasuk sumber kewangan yang diberikan melalui Sime Darby Scholarship, akhirnya produksi tersebut dapat direalisasikan.

Image via Fairul Zahid

Sehubungan itu, Fairul berharap agar lebih ramai pelajar Melayu mencipta nama di luar sana, agar ia menjadi inspirasi kepada anak bangsa kita di Malaysia

Image via Fairul Zahid

Dalam satu temubual eksklusif bersama SAYS, kami telah mengajukan beberapa soalan kepada beliau yang mana kami fikir perlu diketahui oleh orang ramai:

1. Mengapa memilih seni tari dan dari mana timbulnya minat tersebut?

"Saya dahulunya merupakan seorang ahli sukan di mana fokus dalam acara balapan dan bola sepak. Namun, lama-kelamaan saya terfikir kerjaya sebagai seorang ahli sukan memerlukan kredibiliti untuk bersaing dengan pemain-pemain ternama seperti Usain Bolt, Lionel Messi, Ibrahimovic dan banyak lagi. Ia mengambil masa yang sangat lama untuk berada di tahap mereka. Jadi saya mengambil keputusan untuk berhijrah dari bidang sukan ke bidang tari.

Ia agak sukar tetapi dari dulu lagi saya mempunyai minat untuk menceburi bidang seni tari ini. Tari bagi saya mempunyai persamaan sedikit dengan sukan kerana ia memerlukan *endurance* and stamina sewaktu berada di atas pentas. Jadi bagi saya, saya masih lagi mempunyai kebolehan dalam kedua-dua bidang tersebut."

Image via Fairul Zahid

2. Anugerah yang pernah anda terima?

"Anugerah itu datangnya daripada usaha. Bagi saya, pengiktirafan itu tak perlu saya uar-uarkan pada umum. Sudah cukup untuk saya katakan saya mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Bukannya saya sombong tetapi saya rasa pengiktirafan ini hanya sementara. Yang penting saya perlu laksanakan tanggungjawab saya sebagai orang Malaysia yang menceburi bidang ini untuk membantu yang lain mencapai apa yang perlu dalam karier ini."

Image via Fairul Zahid

3. Apakah persepsi orang ramai/kenalan apabila anak Melayu seperti anda menyambung pengajian di luar negara dalam bidang tari?

"Persepsi ada *pros* dan *cons*, yang mana saya ini merupakan orang Islam dan semestinya dinilai dari sudut itu juga. Namun, saya percaya bahawa semua ini adalah ketentuan Allah SWT dan segala pilihan yang saya buat juga telah ditentukan. Biarlah Allah yang menilai saya kelak. Kita tidak boleh menolak persepsi negatif daripada masyarakat setempat kerana itu adalah lumrah kehidupan dan lumrah sebagai manusia untuk melihat dan menilai.

Tetapi ada juga dalam kalangan masyarakat yang menerima pilihan yang saya buat ini sebagai satu perjuangan. Disebabkan minat, saya akan lakukan bersungguh-sungguh demi bangsa dan negara. Masyarakat perlu tahu bahawa kerjaya dan profesion yang saya pilih ini sangat susah kerana persaingan yang sangat kuat terutama di luar negara. Namun tidak bermakna saya tidak mampu bersaing. Saya yakin dengan niat dan misi yang betul akan dapat membantu saya terus ke hadapan."

Image via Fairul Zahid

"Arwah ibu saya sentiasa pesan, pedulikan apa masyarakat nak kata yang penting kita tidak menconteng arang di muka keluarga dan mengaibkan diri. Saya lakukannya demi keluarga dan demi generasi akan datang. Persepsi buruk ini biasanya wujud apabila ada sesetengah penggiat seni di luar sana yang tidak berhati-hati apabila bergaul dan tidak menjaga apa yang perlu dijaga. Menjadi penari dalam masa yang sama akan menjadi perhatian masyarakat.

Masyarakat berpendapat kebanyakan penari adalah pondan atau pun gay. Ini kerana ramai menganggap penari tidak menjaga sensitiviti masyarakat setempat. Kita berada di sebuah negara yang majoritinya beragama Islam. Jadi kita perlu berhati-hati namun tidak sampai merosakkan impian untuk maju sebagai penari. Seperti saya katakan ada juga persepsi dan baik dalam kalangan masyarakat. Kerana mereka sedar, *if it's meant to be it's meant to be.* Jadi nasihat saya, kita buat dan berusaha kerana Allah SWT dan jangan riak."

4. Perancangan pada masa akan datang?

Buat masa sekarang, saya mempunyai [**Asia Duo Dance Company**](http://www.asiaduodance.org/). Saya menubuhkan syarikat ini bersama rakan dari New York dan Beijing. Inisiatif ini lebih ke arah *international collaboration tour performance* dan memberi *workshop* tarian di setiap negara yang kami pergi. Untuk masa sekarang kami sedang mengusahakan dua projek mega iaitu **Building Bridges**, dan **Asia Duo International Tour** yang mana kami berkerjasama dengan beberapa penari luar untuk membuat persembahan di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Amerika Syarikat dan China.

Image via Fairul Zahid

Image via Fairul Zahid

Saya ingin memastikan generasi selepas saya dapat meneruskan perjuangan ini. Jadi, apa yang saya lakukan sekarang adalah persiapan untuk generasi akan datang kerana saya percaya rakyat Malaysia mampu menjadi terbaik di mata dunia.

Saya ingin mengambil peluang Ini untuk berterima kasih kepada Sime Darby Foundation atas biasiswa yang diberikan dan **Pn Yatela Zainal Abidin** yang tidak putus membantu saya. Begitu juga kepada guru-guru saya, **Joseph Gozales, Pamela Pietro, Allyson Green, Sean Curran, Gan Chi Pei, Marion D'Cruz,** dan ramai lagi. Tidak lupa juga, Allahyarhamah bonda dan ayahanda saya. Rakan-rakan terutamanya **Ms Abigail Yee,** dan semua yang membantu dalam karier seni saya.

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca lebih banyak kisah inspirasi di SINI:

Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: