Peguam Kongsi 3 Langkah Penting Jika Lahirkan Anak Luar Nikah – “Baby Anda Tidak Berdosa”

Sekurang-kurangnya, daftar dulu sijil kelahiran bayi anda.

Enlarge text
Cover ImageCover image via AFP & @jillliyana (Instagram)
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Isu kelahiran anak luar nikah bukan sahaja melibatkan emosi, tetapi juga memberi kesan besar terhadap masa depan seorang bayi terutama dari sudut undang-undang dan hak sebagai warganegara

Baru-baru ini, seorang peguam, Wan Nurliyana, menerusi perkongsian di Instagram miliknya tampil memberikan beberapa panduan penting yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa dalam situasi tersebut.

Perkongsiannya menekankan bahawa bayi tidak seharusnya menanggung akibat daripada kesilapan orang dewasa.

1. Daftar sijil kelahiran walaupun tanpa nama bapa

Langkah paling utama yang perlu dilakukan adalah mendaftarkan sijil kelahiran bayi tersebut. Walaupun tanpa maklumat bapa, proses ini sangat penting bagi memastikan anak tersebut mempunyai identiti yang sah.

Menurut Wan Nurliyana, kegagalan mendaftar kelahiran boleh menyebabkan anak berdepan pelbagai kesukaran pada masa depan.

"Ini bermaksud urusan untuk mempunyai kad pengenalan, akses kepada pendidikan juga boleh menjadi terhad dan tidak akan layak untuk mendapatkan sebarang subsidi kesihatan dan lain-lain daripada kerajaan jika anak tidak mempunyai sijil kelahiran," katanya.

Tanpa dokumen rasmi, kanak-kanak tersebut juga berisiko tidak dapat bekerja secara sah, tidak boleh memiliki harta, malah boleh ditahan pihak berkuasa kerana tiada pengenalan diri yang jelas.

2. Gunakan baby hatch jika tidak mampu menjaga

Dalam situasi ibu tidak bersedia atau tidak mampu membesarkan bayi, Wan Nurliyana menyarankan agar bayi diserahkan ke pusat perlindungan khas seperti baby hatch.

Langkah ini dilihat lebih selamat dan berperikemanusiaan berbanding meninggalkan bayi di tempat yang berisiko.

"Kalau tak nak baby tu, boleh letak dia dekat Baby Hatch. Google je. Baby Hatch ada banyak. Jangan tinggalkan tempat-tempat lain takut baby tu meninggal, jadi mangsa dera, kena jual dan sebagainya," katanya lagi.

3. Ikut prosedur sah untuk pengambilan anak angkat

Bagi pasangan yang ingin mengambil bayi sebagai anak angkat, proses tersebut perlu dilakukan mengikut saluran yang sah.

Wan Nurliyana menjelaskan bahawa pendaftaran anak angkat harus dibuat melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan hak dan kebajikan anak tersebut terjamin.

Langkah ini bukan sahaja melindungi bayi, malah mengelakkan sebarang isu undang-undang pada masa akan datang.

"Bayi anda tidak berdosa, berikan dia peluang untuk hidup secara normal dan jangan hukum bayi itu atas kesalahan kita sendiri," tegasnya.

Lihat perkongsian di bawah:

Instagram will load in the frontend.
==

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik