PDRM Tegas Tidak Akan Masuk Campur Urusan Adat Resam Negeri Sembilan
Orang ramai diseru untuk tidak membuat spekulasi serta memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa sebarang gangguan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan tidak akan campur tangan dalam urusan agama dan adat resam di Negeri Sembilan
Menerusi laporan Berita Harian, ketidakterlibatan PDRM ini adalah melibatkan urusan agama dan adat resam di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan kontinjen amat menghormati Adat Perpatih dan undang-undang tersebut yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan, pentadbiran dan perpaduan negeri.
"Sehubungan itu, PDRM tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang terbabit," katanya.
Beliau turut menegaskan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan Negeri Sembilan sentiasa terpelihara adalah menjadi keutamaan PDRM termasuk melindungi nyawa, keselamatan dan harta benda awam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Image via BernamaSeru orang ramai untuk tidak cetuskan spekulasi
Tambah Alzafny, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, tidak membabitkan diri dalam mana-mana pihak yang terbabit, tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa sebarang gangguan.
"PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau perkongsian, sama ada secara fizikal mahupun di platform digital.
"Selain tidak menyebarkan sebarang bentuk kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan 3R (agama, raja dan kaum)," katanya.
Tegas beliau, mana-mana perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang sekiranya dikesan, akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kerjasama semua pihak dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini amat dihargai," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 