PDRM Saran Orang Awam Supaya Jangan Masuk Kuala Lumpur Kalau Tak Ada Urusan Mustahak
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Cover image via PDRMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak memasuki ibu negara sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 jika tiada urusan mustahak
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penutupan dan lencongan jalan secara berkala akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi melancarkan perjalanan delegasi luar negara ke sidang itu.
Difahamkan, penutupan jalan ini dilaksanakan secara berperingkat bermula 17 Oktober lalu dan akan dipertingkatkan sepanjang sidang kemuncak terutama ketika berlangsungnya majlis-majlis rasmi.
"Justeru, orang ramai disarankan untuk mengelak kawasan pusat bandar tanpa urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.
"Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh persidangan," katanya.

MOHD Khalid mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri raptai delegasi menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Image via BernamaPolis akan ambil tindakan tanpa kompromi jika ada pihak cuba menimbulkan gangguan
Mohd Khalid turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya ada yang cuba menimbulkan gangguan sepanjang sidang itu berlangsung.
"PDRM akan mengambil langkah mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keamanan.
"Selain itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis," katanya.
Menurutnya, laluan yang sememangnya terkesan adalah di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) terutamanya di Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC.
Beberapa lebuh raya turut terbabit iaitu Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GUTHRIE).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



