Pasangan Warga Malaysia Simpan RM18K Sebulan Kongsi Masih Tak Berani Nak Ada Anak
Antara sebab yang diberikan adalah mereka mahu menjaga ibu bapa masing-masing yang semakin tua.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah hantaran tular telah mencetuskan perbincangan meluas dalam talian selepas sepasang suami isteri mendedahkan masih tidak berasa selamat dari segi kewangan untuk memiliki anak walaupun menyimpan RM18,000 sebulan
Menerusi hantaran tersebut di Facebook, situasi pasangan yang kedua-duanya berusia 38 tahun itu sudah pasti dianggap sebagai kedudukan kewangan yang ideal dengan pekerjaan yang stabil di syarikat multinasional, sifar hutang dan beberapa aset yang telah dibayar sepenuhnya.
Tetapi di sebalik kestabilan yang ada, mereka mendedahkan terdapat realiti yang kebanyakan rakyat Malaysia tidak nampak. Suami menyimpan antara RM6,000 hingga RM8,000 sebulan manakala isteri menyimpan sekitar RM10,000, menjadikan jumlah simpanan mereka hampir RM18,000 setiap bulan.
Mereka juga memiliki empat buah rumah dan dua buah kereta, semuanya telah dibayar sepenuhnya, menjadikan situasi mereka dilihat kelihatan kukuh dari segi kewangan.
Walau bagaimanapun, pasangan itu mendedahkan kehidupan seharian mereka jauh daripada gaya hidup mewah. Mereka mengelakkan perjalanan ke luar negara, jarang bercuti meskipun dalam negara dan biasanya memastikan makanan harian adalah ringkas.
Mereka turut menekankan tidak selesa mengambil sebarang komitmen kewangan jangka panjang tambahan, termasuk mempunyai anak.

Keputusan yang diambil bukan tentang pilihan gaya hidup tetapi tekanan kewangan jangka panjang, khususnya tanggungjawab untuk menyara kedua-dua belah keluarga mereka
Di pihak suami, masalah kewangan berpunca daripada adik-beradik yang telah mengambil pinjaman daripada pemberi pinjaman haram, menyebabkan keluarga itu memiliki banyak hutang.
Walaupun ibu bapa mereka bertindak menjual aset untuk membayar balik pinjaman terbabit, ia masih tidak mencukupi.
Kini, tanpa simpanan persaraan atau dana pencen, si suami telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk perbelanjaan ibu bapanya, termasuk menyediakan rumah, kereta dan RM3,000 hingga RM4,000 sebagai tanggungan bulanan.
Di pihak isteri, ibu bapanya, seorang penjaja dan suri rumah, juga tidak mempunyai simpanan persaraan.
Untuk membantu menjamin masa depan mereka, dia telah membeli dua buah rumah untuk mereka bagi menjana pendapatan sewa. Dia dan adik-beradiknya juga menyumbang kepada tanggungan kewangan bulanan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Jam Sta Rosa/AFPBertanggungjwab sebagai safety net untuk empat ibu bapa yang sudah tua
Pasangan itu berkata isu terasnya adalah mudah, mereka sebenarnya merupakan sumber tanggungan untuk empat ibu bapa yang semakin tua daripada latar belakang berpendapatan rendah.
Mereka turut berkongsi rasa bimbang akan kos jangka panjang. Mereka menegaskan bahawa penjagaan rumah jagaan di Malaysia boleh menelan belanja antara RM3,000 dan RM5,000 seorang untuk setiap bulan, tidak termasuk bil perubatan dan perbelanjaan harian.
Jika keempat-empat ibu bapa memerlukan penjagaan pada masa hadapan, beban kewangan boleh meningkat dengan ketara.
Pasangan itu memberi amaran bahawa menumpukan tahap tanggungjawab ini kepada satu generasi boleh membawa akibat yang berpanjangan.
Mereka menyifatkan situasi semasa mereka sebagai 'terseret' oleh kewajipan yang tidak dapat mereka elakkan.
Kesannya, mereka memaklumkan tidak mempunyai keyakinan untuk mempunyai anak dalam situasi masa depan yang sudah dilihat tegang dari segi kewangan.
"Bukannya kami tidak suka kanak-kanak, ia adalah kerana kami tidak berani membiarkan sebuah kehidupan lain melalui tekanan yang sama," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 