Pakar Perubatan Gesa Orang Ramai Pakai Pelitup Muka Di Kawasan Penularan Tibi
Take note semua!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi) boleh dicegah menerusi pemakaian pelitup muka terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan kluster wabak
Menerusi laporan Berita Harian, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata orang ramai termasuk di lokasi kluster terbaharu di Johor ketika ini perlu mengamalkan penjagaan kesihatan yang baik seperti membasuh tangan dan menutup mulut ketika batuk dan bersin.
"Pengesanan awal dan rawatan lengkap adalah penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. Selain itu, imunisasi BCG untuk bayi juga penting bagi melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk tibi yang teruk," katanya.
Menurut beliau, tibi masih menjadi penyakit berjangkit utama dan membimbangkan di negara ini, terutamanya dalam populasi berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, warga emas dan pesakit penyakit kronik.
Beliau turut menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) segera melakukan pemantauan dalam kalangan pekerja dan penempatan warga asing, terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang penyebaran penyakit tibi.
Langkah itu dikatakan perlu dilaksanakan memandangkan warga asing, terutamanya PATI masuk secara haram ke negara ini secara beramai-ramai dan sudah pasti tiada pemeriksaan perubatan dijalankan.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Image via Harian MetroMempunyai risiko maut jika tidak mendapat rawatan
Dr Zainal Ariffin memberitahu, penyakit tersebut, terutamanya tibi paru-paru boleh membawa maut jika pesakit tidak mendapatkan rawatan, di mana dengan rawatan yang betul kebanyakan pesakit boleh pulih sepenuhnya.
"Pengasingan awal perlu dilakukan untuk pesakit dalam fasa awal rawatan iaitu dalam tempoh dua hingga tiga minggu pertama atau sehingga ujian kahak negatif, bagi mengelakkan jangkitan.
"Bagaimanapun, pengasingan kekal tidak perlu dilakukan selepas fasa awal rawatan kerana ubat yang diambil menjadikan penyakit mereka tidak berjangkit. Kontak rapat dengan pesakit juga perlu disaring," katanya.
Sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 10 kluster tibi masih aktif dilaporkan, membabitkan empat kluster di Selangor, selain masing-masing satu kluster di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.
Kes di Johor membabitkan 37 individu membabitkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa yang mana 36 dikesan secara aktif dan saringan dijalankan dengan 903 kontak rapat. Satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun disahkan ia bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 