Pakar Dedah Kenapa Dapat 8A Dalam SPM Tak Jamin Penempatan Di Universiti Awam
Memahami sistem merit SPM adalah penting untuk permohonan kemasukan ke universiti.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai pelajar dan ibu bapa dilihat masih salah faham akan persepsi pencapaian mendapat 8A atau lebih dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjamin kemasukan ke universiti awam (UA)
Realitinya, proses pemilihan masih tetap banyak dipengaruhi oleh sistem berasaskan merit.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Mohd Syaubari Othman, sistem merit bertindak sebagai penanda aras kompetitif yang menggabungkan pencapaian akademik 90% dengan markah kokurikulum 10%, lapor Berita Harian.
Skor akademik dikira berdasarkan gred SPM, dengan A+ memegang nilai tertinggi, manakala mata kokurikulum diperoleh daripada penyertaan dalam persatuan, sukan, badan beruniform dan peranan kepimpinan.

Calon mesti faham bahawa tidak semua subjek mempunyai 'berat' yang sama dalam pengiraan merit
Bagi kursus tertentu, terutamanya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), subjek seperti Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi diberikan kepentingan yang lebih tinggi.
Ini menjelaskan mengapa pelajar yang mempunyai 4A dan 4B mungkin memperoleh skor merit yang lebih tinggi daripada pelajar yang mempunyai 8A jika pelajar tersebut mencapai gred tinggi dalam subjek kritikal yang diperlukan untuk kursus tertentu.
Tambahan pula, pemilihan pakej subjek yang selaras dengan bidang pengajian yang dimaksudkan meningkatkan peluang kemasukan pelajar dengan ketara, kerana sistem merit menilai kesesuaian calon untuk program yang dipilih dan bukannya kecemerlangan umum sahaja.

Ramai pelajar dan ibu bapa dilihat masih tidak cakna akan bagaimana sistem merit dilaksanakan
Ketua Bahagian Kemasukan Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia, Mohd Firdaus Zakaria memaklumkan bahawa ramai ibu bapa dan pelajar masih tidak menyedari bagaimana sistem pemilihan ini beroperasi, di mana mereka terus melihat bilangan A sebagai penanda aras terakhir.
Beliau menekankan bahawa pengiraan merit berbeza berdasarkan saluran kemasukan dan institusi, di samping menggesa ibu bapa dan pendidik untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada pelajar pada awal tahun persekolahan menengah mereka bagi mengelakkan keputusan yang tidak diingini semasa proses permohonan.
Kementerian Pendidikan Tinggi merancang untuk melaksanakan sistem 'single window and single offer', yang bertujuan untuk menyatukan sistem permohonan yang berasingan pada masa ini dan mengoptimumkan penempatan universiti berdasarkan merit dan kesesuaian program.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 