Nelayan Terengganu Dakwa Jumpa Muntah Paus Berharga, Cecah Nilai Lebih RM100,000
Bahan tersebut dilaporkan boleh mencecah sehingga USD40,000 (kira-kira RM160,000) sekilogram.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang nelayan di Terengganu mendakwa menemui ketulan yang dipercayai muntah ikan paus atau ambergris, terapung di perairan pantai Kuala Kemasik minggu lalu
Menerusi laporan Harian Metro, Mohd Raffi Yusoff, 58, menemui objek ketulan seperti lilin itu semasa mencandat sotong kira-kira empat batu nautika dari Kuala Kemasik sekitar jam 6 petang Khamis lalu, 30 April.
"Dalam perjalanan itu, saya melihat objek berwarna putih itu dalam keadaan tenggelam-timbul. Pada mulanya saya menyangka objek itu adalah gabus pelampung.
"Saya hampirinya dan mendapati ia berupa ketulan lilin yang berat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kampung Gong Chengal, Kemasik, Terengganu.

Mohd Raffi berkata objek itu seberat sekitar 20kg, tetapi hanya berjaya mendapatkan kira-kira 5kg selepas memotong sebahagian daripadanya dan membawanya ke bot
"Ia sangat berat. Bila disentuh ia agak lembut dan berbau harum. Saya hanya ambil sebahagian anggaran dalam lima kilogram sementara selebihnya dihanyutkan air.
"Hati saya tertanya-tanya juga mengenai objek itu. Saya bimbang juga kerana bersendirian di atas bot," katanya.
Lelaki itu menambah objek berkenaan terus mengeluarkan aroma yang kuat dan menyenangkan sepanjang malam semasa dia berada di laut.
Selepas pulang ke rumah sekitar jam 11 malam, dia menunjukkan ketulan itu kepada isterinya, Zuliza Harun, 39, yang kemudiannya membuat carian di internet untuk mengenal pasti bahan misteri terbabit.
"Hasil daripada pencarian itu, kami dapati ia mungkin muntah ikan paus. Saya ambil dan bakar sedikit ketulan itu ia dan mengeluarkan bau yang wangi," katanya.
Nelayan itu kemudiannya bersetuju untuk menghantar objek tersebut kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk diuji bagi mengesahkan sama ada ia adalah ambergris tulen.
"Jika benar objek yang saya temui itu adalah muntah ikan paus, saya sangat bersyukur dan sedia untuk menjual kepada mana-mana pihak yang berminat," katanya.

Ambergris itu apa sebenarnya?
Ambergris, yang turut digelar sebagai 'emas terapung', merupakan bahan yang jarang ditemui dihasilkan dalam saluran pencernaan ikan paus sperma, sebuah spesies mamalia terancam.
Oleh kerana sotong merupakan sebahagian besar daripada diet ikan paus sperma, ikan paus menghasilkan sebatian yang dipanggil ambrein untuk membantu melindungi sistem pencernaannya daripada paruh sotong yang tajam.
Lama-kelamaan, bahan yang dicerna akan dikeluarkan sama ada melalui regurgitasi atau sebagai bahan najis sebelum terapung di lautan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Semasa ia menua dan teroksida dalam air laut, bahan tersebut mengeras menjadi ketulan seperti lilin dan menghasilkan aroma unik yang menjadi permintaan oleh pembuat minyak wangi kerana keupayaannya untuk membantu wangian tahan lebih lama.
Menurut South China Morning Post, ambergris dilaporkan boleh mencecah sehingga USD40,000 (kira-kira RM160,000) sekilogram bergantung pada kualiti dan ketulenannya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via The GuardianWalau bagaimanapun, pakar mengatakan tidak semua objek berlilin yang ditemui di laut adalah ambergris tulen
Pada tahun 2021, seorang wanita di Marang, Terengganu juga menemui ketulan seperti lilin terapung yang dipercayai muntah ikan paus dan menghantarnya ke UMT untuk ujian.
Menerusi laporan Kosmo!, analisis makmal kemudiannya mengesahkan bahawa objek itu hanyalah sebatian bahan organik tanpa nilai komersial.
Sampel tersebut tidak mengandungi tiga sebatian aktif utama yang terdapat dalam ambergris tulen iaitu ambrein, epikoprosterol dan koprostanon.
Seorang pakar dari UMT sebelum ini mengatakan ambergris perlu mengandungi tahap tertentu bagi tiga sebatian aktif tersebut untuk dianggap mempunyai nilai yang tinggi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 