Ms Rachel Pakai Busana Dihiasi Lukisan Kanak-Kanak Gaza Semasa Terima Anugerah
Ms Rachel mengenakan busana itu pada malam anugerah Women of the Year 2025 4 November lalu.
Cover image via Dimitrios KambourisFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rachel Accurso atau lebih dikenali sebagai Ms Rachel terus menunjukkan solidariti untuk kanak-kanak di Gaza apabila mengenakan busana istimewa pada malam anugerah Glamour Women of the Year 2025
Menerusi laporan Glamour, Ms Rachel menerima karya seni oleh kanak-kanak di Gaza yang menceritakan kisah mereka, kemudian ia disulam pada gaun yang dipakainya dalam acara tersebut.
"Saya sedang memikirkan tentang semua anak kecil di sana dan apa yang boleh kita lakukan untuk mereka.
"Saya menyimpan kisah mereka di dalam hati saya. Mereka semua tahu tentang gaun itu, dan mereka sangat teruja," katanya.



Menerima anugerah 2025 Glamour Woman of the Year selepas kejayaan siri rancangan kanak-kanaknya di samping menjadi antara selebriti yang lantang menyuarakan hak kanak-kanak di Gaza
Ms Rachel telah menunjukkan kejayaan merangkumi pelbagai platrofm media menerusi 13 bilion tontonan di YouTube, 9 buah buku, pelbagai mainan yang dikeluarkan laris dan siri Netflix yang menerima tontonan lebih daripada 53 juta.
Kejayaan itu telah menjadikannya sebagai 2025 Glamour Woman of the Year, di samping kerja amalnya menjadi salah seorang yang paling lantang bersuara untuk kanak-kanak di Gaza juga menjadi antara faktor.
"Kasih sayang saya terhadap kanak-kanak tidak terhenti pada anak-anak saya sendiri sahaja, ia tidak terhenti pada kanak-kanak di negara kita, ia merangkumi setiap kanak-kanak di dunia.
"Saya tidak fikir kasih sayang kita harus berakhir pada agama atau warna kulit atau tempat orang dilahirkan. Saya fikir itu bukanlah perkara yang betul, dalam jiwa saya, kanak-kanak sepatutnya mempunyai hak asasi manusia, dan kanak-kanak sememangnya mempunyai hak asasi manusia.
"Saya sentiasa memikirkan tentang kanak-kanak yang memerlukan. Saya menerima maklumat di mana saya mempelajari bagaimana rasanya menjadi seorang kanak-kanak di tempat yang paling sukar.
"Saya tidak fikir mempunyai platform datang dengan perkara negatif. Salah satu perkara positif ialah dapat mengetengahkan isu dan menyampaikan mesej kepada khalayak yang lebih besar. Saya fikir ia adalah tanggungjawab besar yang harus digunakan sebaik mungkin," katanya.

Lukisan daripada 9 orang kanak-kanak Gaza dikongsi Ms Rachel
Sembilan orang kanak-kanak tersebut ialah Anne, Luna, Ahmed, Rana, Rama, Sarah, Shahed, Mohammed dan Rahaf.
Ms Rachel dalam sebuah hantaran di Instagram berkongsi rasa gembira dapat menunjukkan karya seni mereka.
"Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi karya seni daripada kanak-kanak di Gaza ini dalam acara Glamour Woman of the Year tahun ini.
"Saya sangat berbangga dengan anda Anne, Luna, Ahmed, Rana, Rama, Sarah, Shahed, Mohammed dan Rahaf!
"Gaun ini telah dibuat daripada bahan yang dikitar semula dan sumbangan dibuat untuk semua kanak-kanak," tulisnya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



