MOTAC Gesa Pengusaha Hotel Tawar Minimum Tempoh Penginapan 23 Jam Kepada Pelancong
Difahamkan, inisiatif itu dicadangkan bagi menjadikan penawaran hospitaliti Malaysia lebih berdaya saing.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) secara proaktif menggesa pengusaha hotel tawar tempoh penginapan sekurang-kurangnya 23 jam kepada pelancong
Menerusi kenyataan yang diberikan oleh menterinya, Dato Seri Tiong King Sing berkata inisiatif ini bertujuan meningkatkan nilai untuk wang (value for money), memperkukuh pengalaman pelancong serta menjadikan penawaran hospitaliti Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Perkara berkaitan rumah tumpangan dan rumah pemalaman adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing.
"Namun penetapan masa check-in dan check-out merupakan satu keputusan berdasarkan operasi perniagaan pengusaha hotel.
"Walau bagaimanapun, sebagai strategi pemasaran utama sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), MOTAC secara proaktif menggesa pengusaha hotel menawarkan tempoh penginapan sekurang-kurangnya 23 jam, contohnya masuk 2.00 petang, keluar 1.00 petang," katanya.

Dato Seri Tiong King Sing.
Image via ParlimenSedang mempergiat rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri meneliti kesesuaian memasukkan elemen piawaian masa operasi
Menurut Tiong, perkara ini sedang diusahakan bagi memastikan pendekatan tersebut dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan mampan.
"MOTAC sedang mempergiat rundingan bersama KPKT serta Kerajaan Negeri untuk meneliti kesesuaian memasukkan elemen piawaian masa operasi ke dalam syarat pelesenan PBT.
"Usaha ini selari dengan kajian semula Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang bertujuan memperkukuh punca kuasa MOTAC dalam mempertingkat standard dan kualiti perkhidmatan premis penginapan negara.
"Sehubungan dengan itu, MOTAC ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak premis penginapan pelancong sebelum membuat tempahan. Industri premis penginapan pelancong merupakan satu industri yang kompetitif dan pengguna mempunyai kuasa untuk memilih," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 