MOSTI Cetus Revolusi STEM, Malaysia Techlympics 2025 Ajak Semua Jadi Inovator Muda!
Program Malaysia Techlympics terbuka kepada pelajar berusia 7 tahun sehingga belia berusia 30 tahun.
Cover image via Malaysia TechlympicsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui inisiatif program Malaysia Techlympics 2025
Program ini bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran serta minat terhadap sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah dan belia.
Salah satu komponen utama dalam Malaysia Techlympics adalah Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach), yang menyasarkan pelajar dan guru di kawasan luar bandar.
Pada tahun ini, sebanyak 75 program outreach telah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei (tengah tiga dari kiri).
Image via Malaysia TechlympicsTerbaharu, pada 13 dan 14 Jun lalu menerusi program Outreach Malaysia Techlympics, MOSTI menerusi Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei telah melawat dua sekolah di daerah Mersing.
Dua sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan Pulau Sibu yang mempunyai 16 orang murid dan Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi yang memiliki 25 orang murid.
"Kedua-dua sekolah ini menghadapi cabaran dalam pendedahan kepada STEM, terutamanya disebabkan oleh bilangan murid yang sedikit dan perpindahan penduduk ke kawasan tanah besar.
"Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid mengenai STEM dan menggalakkan minat mereka dalam bidang Sains dengan pendekatan yang menyeronokkan," ujar Puan Ruziah.

MOSTI sasar 1.7 juta penyertaan dalam program Malaysia Techlympics 2025
Antara aktiviti menarik dalam program outreach adalah memperkenalkan asas robotik dan pengaturcaraan menerusi EZBOT, meransang kreativiti pelajar mencipta objek tiga dimensi (Pen 3D) dan pendedahan konsep tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan asas (Kereta Solar).
Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan inklusif kepada semua pelajar, termasuk mereka yang berada di kawasan terpencil.
"Kami di MOSTI mahu beri ruang dan peluang kepada mereka yang sebelum ini tidak berpeluang untuk menyertai program seperti ini.
"Saya sendiri teruja untuk hadir di kedua-dua sekolah ini. Objektif kita tahun ini adalah lebih banyakkan program outreach di luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perhatian.
"Melihat sambutan di kedua-dua sekolah ini saya melihat anak-anak di luar bandar ini lebih kreatif. Mereka terdedah dengan perkara-perkara penciptaan ini lebih awal kerana digunakan dalam kehidupan harian mereka," kata Ruziah.

Program Malaysia Techlympics 2025 merupakan tahun keempat penganjurannya dan kini telah berjaya menarik minat lebih 1.4 juta penyertaan dari seluruh negara.
Menerusi Malaysia Techlympics 2025, MOSTI berhasrat untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan inovatif, selaras dengan matlamat negara untuk menjadi masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing di peringkat global.
"Pihak MOSTI mensasarkan sebanyak 1.7 juta penyertaan pada tahun ini dan kami percaya pada masa depan akan lebih ramai pelajar dan belia yang berminat untuk menyertai program ini.
"Hasilnya pada masa depan kita akan dapat lihat produk-produk buatan anak tempatan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa," ujar Ruziah.

Untuk rekod, program Malaysia Techlympics terbuka kepada pelajar berusia 7 tahun sehingga belia berusia 30 tahun. Pertandingan ini bermula di peringkat sekolah, peringkat negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 9 dan 10 November depan.
Bagi mereka yang ingin menyertai pertandingan ini boleh layari laman web MOSTI atau media sosial Malaysia Techlympics.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



