MIFFest 2026: Tema “Resonance” Jadi Pilihan, Angkat Gema Sinema Melangkaui Sempadan
MIFFest 2026 turut tampilkan pameran imersif Algorithmic Organisms 2.0.
Cover image via MIFFestFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) edisi ke-9 kini bersiap sedia untuk kembali menggegarkan ibu kota bermula 18 hingga 25 Julai 2026
Dalam satu sidang media yang berlangsung di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, pihak penganjur telah mendedahkan barisan duta baharu serta pengisian program yang lebih global dan inovatif.
Festival tahun ini bakal berpusat di MyTOWN Shopping Centre dengan kerjasama GSC International Screens sebagai rakan pawagam rasmi, serta mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh
Image via MIFFest"Resonance": Apabila filem terus hidup dalam jiwa
Tema "Resonance" atau Gema dipilih bagi menggambarkan kuasa sinema yang tidak terhenti sebaik sahaja layar menjadi gelap. Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh, menjelaskan bahawa dalam era penuh cabaran sosial dan alam sekitar, filem perlu berfungsi sebagai medium yang membina empati dan persoalan moral merentasi generasi.
"Filem tidak berakhir apabila tayangan tamat; ia terus bergema dalam perbualan, ingatan, dan harapan mereka yang mencari kebenaran.
"Visual utama tahun ini yang bertemakan warna ungu melambangkan kedalaman dan transformasi yang dibawa oleh gema sinematik tersebut," ujar Joanne Goh.
MIFFest 2026 memperkenalkan barisan duta yang menggabungkan tenaga segar dan kematangan industri:
- Jack Tan & Zizan Razak: Wajah baharu yang membawa perspektif dinamik.
- Daiyan Trisha: Kembali untuk tahun kedua.
- Bront Palarae: Ikon MIFFest yang setia memegang mandat duta untuk tahun ketujuh berturut-turut.

MIFFest terus memperkasakan penceritaan Asia Tenggara melalui program ASEAN On Screen edisi kedua. Kerjasama strategik dengan Asian World Film Festival (AWFF 2026) akan membawa segmen khas "Focus on ASEAN Countries" ke pentas antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada pembikin filem serantau untuk berinteraksi dengan industri global.
Selain itu, jambatan budaya diperkukuh menerusi kerjasama dengan India dan Rusia. Minggu Filem Rusia, hasil kerjasama dengan ROSKINO, akan menayangkan lima filem kontemporari Rusia secara percuma di MIFFest sebagai tanda pertukaran budaya dua hala.
Inovasi AI & seni imersif menerusi Kampung Film Lab dan Algorithmic Organisms 2.0
Mengikuti perkembangan teknologi, MIFFest menjalin kerjasama dengan Kampong Film Lab (JAFF) untuk memperkenalkan program pembangunan bakat berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
Kemuncak inovasi teknologi ini akan dipamerkan menerusi Algorithmic Organisms 2.0 oleh artis 0010×0010 (Ray Tijssen). Pameran audiovisual imersif ini akan berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur (4–19 Julai 2026), menawarkan pengalaman seni generatif AI berskala besar yang pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, MIFFest edisi ke-9 ini turut diperkukuh oleh rakan strategik seperti Hong Leong Bank, Foodpanda, dan Mah Sing Group. Kemuncak festival iaitu Malaysia Golden Global Awards (MGGA) dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026 di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza.
MIFFest 2026 mengajak semua peminat sinema untuk merasai "gema" penceritaan antarabangsa selama lapan hari yang penuh dengan dialog budaya dan apresiasi seni. Maklumat lanjut boleh dapati di www.miffest.com.my.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



