Mendaki Bukit Dapako Hingga Ke Sungai Kiulu, Lingga Eco Tourism Tawar Pengalaman ‘Outdoor’ Paling Autentik
Pusat eko-pelancongan ini menawarkan aktiviti mendaki Bukit Dapako dan sukan air seperti water rafting.
Cover image via Sabah Tourism BoardFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Negeri Sabah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di rantau ini
Kejayaan ini didorong oleh pengiktirafan antarabangsa dan strategi pemerkasaan penduduk tempatan yang kini menjadi penggerak utama sektor pelancongan luar bandar.
Antara pencapaian paling membanggakan ialah Koperasi Pelancongan Komuniti Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL), yang telah dinobatkan sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO). Selain itu, beberapa produk pelancongan komuniti di Sabah turut menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard, membuktikan kualiti perkhidmatan desa yang bertaraf global.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah memainkan peranan kritikal sejak tahun 2014 melalui penyediaan latihan kemahiran kepada penduduk kampung. Inisiatif ini bertujuan memastikan komuniti mampu menguruskan destinasi mereka secara berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.
Projek perintis di Kiulu dan Kadamaian kini menjadi rujukan utama kejayaan model ini. Salah satu contoh kejayaan ialah Lingga Eco Tourism di Kampung Lingga, Kiulu, yang merupakan antara lima pengusaha di Sabah yang menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard di peringkat kebangsaan tahun ini.

Pengunjung menikmati pemandangan indah Sungai Kiulu di Lingga Eco Tourism, Kampung Lingga, Kiulu.
Image via Sabah Tourism BoardLingga Eco Tourism: Kelestarian alam dan ekonomi penduduk
Pengerusi Lingga Eco Tourism, Kait Lasangan, menjelaskan bahawa penglibatan komuniti adalah kunci kepada keunikan destinasi mereka. Terletak di kaki bukit yang menghijau dengan aliran Sungai Kiulu, pusat eko-pelancongan ini menawarkan aktiviti mendaki Bukit Dapako dan sukan air seperti water rafting.
"Setiap aktiviti diuruskan bersama komuniti. Penduduk tempatan terlibat sebagai pemandu pelancong, petugas penyelenggaraan, dan pengurus aktiviti. Semua penglibatan ini dibayar dan memberi pendapatan terus kepada penduduk setempat," ujar Kait.
Beliau menambah bahawa kehadiran penduduk tempatan sebagai pemandu bukan sahaja menjamin keselamatan, malah memberikan pengalaman autentik kepada pelancong melalui perkongsian cerita rakyat dan budaya kampung.

Pengerusi Pelancongan Komuniti Lingga Eco Tourism, Kait Lasangan (gambar kecil).
Image via Sabah Tourism BoardMenjelang Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027, kerajaan negeri telah menetapkan agenda utama untuk menumpukan kepada pengalaman pelancongan berasaskan komuniti, alam semula jadi, dan budaya.
Sabah kini menawarkan kepelbagaian produk mengikut minat pelancong:
- Kadamaian: Terkenal dengan sungai jernih dari kaki Gunung Kinabalu dan tapak perkhemahan semula jadi.
- Tambunan & Tenom: Menawarkan pengalaman pertanian dan agro-pelancongan.
- Kinabatangan (KOPEL): Destinasi buat pencinta hidangan liar dan pemuliharaan alam.
- Kundasang: Udara segar pergunungan dan panorama ladang sayur di kaki Gunung Kinabalu.
- Kota Marudu & Kudat: Menampilkan keindahan pesisir pantai dan keunikan budaya suku kaum Rungus.
"Bila komuniti terlibat dan mendapat manfaat, mereka akan menjaga kawasan ini dengan lebih baik. Ini bukan sahaja tentang pelancongan, tetapi tentang kelangsungan hidup dan masa depan kampung," tegas Kait Lasangan.
Dengan ekosistem yang mampan ini, pelancongan komuniti di Sabah bukan sekadar memberi keseronokan kepada pengunjung, malah menjadi tunjang kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk luar bandar yang berterusan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



