Masjid Andalusia Kota Bharu Hidang 1,000 Juadah Setiap Hari Sepanjang Ramadan
Kena pergi ni!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Masjid Imanul Fai'zin atau lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia di Kota Bharu, Kelantan menyediakan sebanyak 1,000 hidangan setiap hari sempena bulan Ramadan
Menerusi laporan Harian Metro, program majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan yang kini memasuki tahun ketiga berturut-turut tersebut melibatkan pelbagai juadah tradisi Kelantan.
Pengasas Masjid Imanul Fai'zin yang juga Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin berkata penganjuran program ini saban tahun mendapat sambutan bukan sahaja daripada masyarakat setempat, malah pengunjung dari negeri lain yang ingin merasai suasana berbuka puasa seperti di Tanah Suci.
"Menjelang azan Maghrib, aroma masakan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu, ayam percik dan kuih-muih memenuhi dataran masjid.
"Jemaah akan duduk bersila bersama keluarga dan rakan, berkongsi juadah dalam suasana yang mengingatkan pengalaman berbuka di Makkah dan Madinah.
"Suasana itu juga bukan sekadar kenikmatan makanan, tetapi juga membina ukhuwah dan mengeratkan kasih sayang sesama Muslim," katanya.

Kemeriahan diteruskan dengan solat tarawih berjemaah di mana saf yang panjang sehingga ke dataran luar masjid
Menurut Ibrahim, dalam usaha mengimarahkan waktu Subuh, pihak jawatankuasa masjid turut mencadangkan penyediaan juadah sahur yang ringkas khusus buat mereka yang hadir solah berjemaah di masjid.
"Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai umat Islam memulakan hari dengan langkah ke masjid, menjadikan Ramadan bukan hanya hidup di waktu malam, tetapi bercahaya penuh di waktu fajar.
"Oleh itu, kami menjemput masyarakat hadir bersama keluarga dan sahabat untuk merasai sendiri pengalaman Ramadan yang begitu bermakna di Masjid Imanul Fai'zin," katanya.
Masjid yang dibina pada tahun 2020 ini mendapat inspirasi besar daripada arkitektur megah Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kini, ia menjadi salah satu tarikan pelancongan dari aspek keagamaan antara yang utama di Kelantan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 