MaPeR Seru Mangsa Lain Tampil Bongkar Skim Penipuan Oleh Datuk Yang Kini Disiasat SPRM
Difahamkan, kes berkenaan masih dalam siasatan dan dipercayai melibatkan beberapa syarikat tempatan serta individu berprofil tinggi.
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kini disiasat selepas sekumpulan pelabur termasuk seorang warga British tampil membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan palsu membabitkan kerugian melebihi RM66 juta
Difahamkan, Datuk berkenaan telah ditahan oleh SPRM pada Julai lalu bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut.
Kes berkenaan masih dalam siasatan dan dipercayai melibatkan beberapa syarikat tempatan serta individu berprofil tinggi.
Laporan itu, yang turut disokong bukti transaksi dan dokumen pelaburan, mendakwa skim berkenaan dijalankan secara sistematik sejak 2018 melalui beberapa syarikat berunsur Ponzi dengan nilai keseluruhan penipuan dipercayai mencecah lebih RM300 juta.

Pengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR, Shah Abdul Malek
Image via Nabila Adlina Azahari/Harian MetroPengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR, Shah Abdul Malek, yang mengetuai usaha membongkar penipuan ini sejak tahun lalu, berkata tindakan pelabur membuat laporan kepada SPRM diambil selepas pelbagai aduan kepada pihak berkuasa sebelum ini gagal menampakkan sebarang perkembangan ketara.
"Kami percaya rangkaian penipuan ini telah beroperasi dengan rapi dan melibatkan individu berpengaruh serta beberapa entiti korporat. Kini kami menyeru semua mangsa lain supaya tampil ke hadapan membantu siasatan," katanya.
Lebih 300 pelabur termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan kebajikan yang dipercayai terjejas akibat skim pelaburan berkenaan
Dalam sidang media sama, beberapa mangsa turut tampil berkongsi pengalaman mereka ditipu oleh individu berkenaan, mendedahkan kelicikan modus operandi yang digunakan termasuk penyediaan dokumen pelaburan palsu, penyata bank rekaan serta jaminan palsu daripada institusi kewangan kononnya berdaftar.
Menurut Shah, pihaknya turut mengenal pasti lebih 300 pelabur termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan kebajikan yang dipercayai terjejas akibat skim pelaburan berkenaan.
Shah berkata, individu terbabit dan ejen-ejennya memperdaya pelabur dengan menyamar sebagai pegawai bank serta menggunakan nama tokoh korporat bergelar Tan Sri kononnya sebagai ahli lembaga pengarah bagi memberi keyakinan kepada mangsa.
"Ramai yang percaya kerana dokumen pelaburan kelihatan sah dan disertakan sijil insurans palsu serta kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ada pelabur warga emas dan pesara yang hilang keseluruhan simpanan hari tua akibat janji pulangan dua angka," ujarnya.
Selain individu perseorangan, beberapa agensi kerajaan negeri dan syarikat GLC di Kedah, Melaka dan Perlis turut dikatakan menjadi mangsa, dipercayai kerana penglibatan seorang bekas pegawai kanan persekutuan yang bertindak sebagai proksi kepada Datuk berkenaan.
Menurut laporan yang dikemukakan kepada SPRM, wang pelaburan yang diperoleh secara tidak sah itu dipercayai disalurkan kepada ejen serta individu berprofil tinggi sebagai habuan dan "komisen", bagi meminjamkan kredibiliti mereka kepada syarikat yang dikawal Datuk tersebut.
"Kami bimbang ada elemen salah guna kuasa dan rasuah bagi melindungi operasi ini. Sebab itu kes ini mesti disiasat di bawah Akta SPRM dan Akta Pengubahan Wang Haram," tegas Shah.

Pelabur warga British, Lee Rodger Meiklejohn
Image via MaPeRSiasatan terhadap individu terbabit turut berkait dengan laporan polis yang dibuat pada November 2023 oleh pelabur warga British, Lee Rodger Meiklejohn, yang mendakwa kerugian sebanyak GBP10 juta (sekitar RM60 juta) dalam langganan saham sebuah syarikat tempatan yang dikawal Datuk berkenaan.
Lee mendakwa wang pelaburannya disalurkan ke akaun syarikat lain tanpa kebenaran dan sehingga kini kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.
MaPeR turut mendakwa, individu berkenaan kini cuba mengelak tanggungjawab dengan memulakan proses penggulungan terhadap beberapa firma pelaburannya. Langkah itu dipercayai bertujuan menghalang pelabur daripada menuntut semula dana mereka.
"Kami melihat ada cubaan menutup jejak dan menghapuskan bukti melalui penggulungan syarikat. Ini adalah usaha untuk melepaskan diri daripada pertanggungjawaban," ujar Shah.
Ditanya mengenai tindakan lanjut, Shah yang mewakili kumpulan pelabur berkata pihaknya kini menunggu hasil siasatan penuh daripada pihak berkuasa termasuk SPRM dan polis sebelum mengambil langkah seterusnya.
"Kami tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan tindakan saman sivil bersama mangsa-mangsa lain bagi menuntut semula kerugian yang dialami," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan keadilan ditegakkan serta dana pelabur yang terjejas dapat dipulihkan.
Pelabur yang menjadi mangsa skim pelaburan tersebut diseru tampil membuat laporan atau menghubungi Sekretariat MaPeR di talian 017-4477 675 atau e-mel ke [email protected] bagi membantu siasatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



