Malaysia Tempat Ketiga Terbaik Di Asia, Raih Gangsa Dalam Kejohanan Lacrosse Asia

Tahniah buat seluruh ahli pasukan!

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Skuad lacrosse lelaki negara berjaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan Sukan Lacrosse Asia 2026 di Chengdu, China

Pencapaian ini juga menandakan sebuah sejarah baharu apabila ini merupakan kali pertama wakil Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan sukan.

Menerusi laporan Sinar Harian, Malaysia berjaya merangkul pingat gangsa selepas berjaya menewaskan Arab Saudi 15-10.

Kapten skuad negara, Rashid Shukor berkata kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh komuniti lacrosse negara.

"Pingat ini milik setiap pemain, jurulatih dan sukarelawan yang pernah mencurahkan masa mereka untuk lacrosse Malaysia. Kami sudah membuktikan sesuatu hari ini," katanya.

Ketua jurulatih negara, Michael Wilder memuji disiplin pemainnya berjaya melaksanakan taktikal dengan baik, khususnya dalam situasi bertekanan tinggi.

"Kami hadir dengan matlamat yang dirangka rapi dan pemain menunaikannya dengan cemerlang. Kejayaan ini memberi suntikan semangat besar menjelang misi seterusnya," katanya.

SAYS.com
Image via @malaysialacrosse (Threads)

Kejayaan yang menjadi bukti usaha jangka panjang

Presiden Persatuan Lacrosse Malaysia, Jake Iskandar Marr memaklumkan kejayaan berkenaan merupakan bukti hasil usaha jangka panjang memperkenalkan sukan tersebut di Malaysia.

"Daripada sukan yang kurang dikenali kepada pencapaian podium di Asia, ini menunjukkan potensi besar yang sedang berkembang," katanya.

Pencapaian di kejohanan ini disifatkan sebagai motivasi penting dalam usaha Malaysia memburu kelayakan ke temasya sukan olimpik.

Skuad negara dijadualkan menyertai Kejohanan Lacrosse Sixes Asia Pasifik di Sunshine Coast, Australia pada Oktober hadapan menjadi platform penting untuk layak ke olimpik.

Lacrosse merupakan sukan yang berasal daripada komuniti Orang Asli Amerika Utara, kini semakin berkembang di peringkat global dengan format enam sebelah (Sixes) bakal disertakan dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

SAYS.com
Image via @malaysialacrosse (Threads)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik