Malaysia Kehilangan Terumbu Karang Bersamaan 47,250 Padang Bola Dalam Tempoh 3 Tahun

Banyak betul 😮

Enlarge text
Cover ImageCover image via Reef Check Malaysia
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Malaysia telah kehilangan terumbu karang yang bersamaan dengan 47,250 padang bola sepak sejak tiga tahun lalu

Data tersebut telah diperoleh menerusi Tinjauan Tahunan Reef Check Malaysia 2025 yang telah dijalankan sejak tahun 2007, direkodkan oleh sukarelawan terlatih termasuk orang awam, penyelam, organisasi bebas dan pegawai kerajaan dari Jabatan Perikanan Malaysia dan Taman Sabah.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan di 297 kawasan terpilih di seluruh negara, laporan itu mendapati purata litupan karang hidup adalah 39.94% pada tahun 2025, menurun daripada 44.65% pada tahun 2024.

"Itu merupakan penurunan sebanyak lima mata peratusan, kira-kira 10% litupan karang hilang hanya dalam satu tahun," kata ketua pegawai eksekutif Reef Check Malaysia, Julian Hyde menerusi laporan Malay Mail.

Mengimbas kembali, Hyde menyatakan bahawa litupan karang hidup berada pada kira-kira 50% pada tahun 2022, bermakna Malaysia telah kehilangan sekitar 20% litupan karangnya sejak itu.

"Kita kehilangan karang bersamaan dengan 47,250 padang bola sepak dalam tempoh tiga tahun yang lalu," tegasnya.

SAYS.com
Image via @reefcheckmalaysia (Instagram)

Penurunan berterusan ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk isu pelunturan karang global dari tahun 2023 hingga 2025

Perkara ini merupakan antara krisis alam sekitar yang berterusan berlaku menjejaskan sekitar 84% terumbu karang dunia akibat peningkatan suhu lautan.

Faktor penyumbang yang lain adalah termasuk pelancongan yang tidak mampan, pembangunan di pesisir pantai, pencemaran dan amalan perikanan yang merosakkan.

Laporan tersebut mendapati bahawa tanda-tanda gangguan daripada aktiviti manusia adalah tinggi di banyak kawasan terumbu karang, dengan 82.5% terjejas oleh sampah, 80% oleh jaring ikan yang dibuang dan 57.5% oleh kerosakan daripada sauh. Pelunturan karang direkodkan pada 67.5% lokasi yang ditinjau. Di Sabah, 33.3% kawasan ditinjau mempunyai bukti penangkapan ikan dengan bahan letupan (dynamite).

"Penemuan ini penting kerana terumbu karang adalah penting untuk peluang pekerjaan dan keselamatan makanan bagi komuniti di pesisir pantai," kata Hyde.

Hyde menambah, dianggarkan 140,000 nelayan berskala kecil beroperasi di Malaysia, dengan puluhan ribu isi rumah bergantung pada perikanan pesisir pantai untuk makanan dan pendapatan, mata pencarian yang bergantung secara langsung terhadap ekosistem marin yang sihat.

"Terumbu karang juga merupakan produk pelancongan yang penting. Menurut beberapa sumber, pelancongan menyumbang 15% daripada GDP Malaysia dan 25% daripada pekerjaan," katanya.

SAYS.com
Image via @reefcheckmalaysia (Instagram)

Reef Check Malaysia menyeru perlindungan terumbu yang lebih kukuh

Organisasi berkenaan menyeru kerajaan untuk menerima pakai pendekatan pengurusan bersama yang secara rasmi mengintegrasikan komuniti tempatan ke dalam pengurusan kawasan perlindungan marin sambil membina daya tahan ekologi dan ekonomi.

"Dengan mengurangkan impak dari punca-punca terbabit, kita boleh memberi peluang terbaik kepada terumbu untuk menahan tekanan berskala besar seperti perubahan iklim," kata Hyde, sambil menambah bahawa mata pencarian yang pelbagai dapat membantu mengurangkan tekanan ke atas terumbu, terutamanya daripada kegiatan pelancongan.

Reef Check Malaysia juga menyeru peralihan ke arah amalan pelancongan yang lebih lestari, menekankan bahawa organisasi itu "bukan anti-pelancongan tetapi pro-pelancongan lestari".

Pihak mereka menggalakkan orang ramai untuk menyokong pelbagai usaha untuk melindungi terumbu karang dan ekosistem marin Malaysia.

Lihat Laporan Tinjauan Tahunan Reef Check Malaysia 2025 di SINI

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: