Malaysia Airlines Perkenal Pelan 5 Tahun, Sasar Jadi 10 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia
Sasaran itu direka untuk memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang MAG.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysia Aviation Group (MAG) perkenal Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), pelan lima tahun yang akan memperkukuh kedudukan daya saing dan memantapkan kedudukannya sebagai kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka Asia
Menerusi laporan Berita Harian, pelan bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu akan meletakkan Malaysia Airlines dalam kelompok 10 syarikat penerbangan global terbaik Skytrax daripada kedudukan ke-27 ketika ini.
Ia dilihat akan menggandakan pendapatan kepada lebih RM24 bilion serta memacu pertumbuhan melebihi 60 peratus dalam pendapatan pihak ketiga merentasi perniagaan perkhidmatan penerbangan.
Secara kolektif, sasaran itu direka untuk memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang MAG, meningkatkan kesalinghubungan global Malaysia dan mengukuhkan peranan kumpulan sebagai pemangkin pembangunan negara.
LTBP3.0 berpaksikan empat tonggak strategik yang disokong oleh pemudah cara utama termasuk insan, proses, inovasi digital dan kelestarian.

Dibangunkan berdasarkan momentum kukuh pelan sebelum ini
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata LTBP3.0 dibangunkan berasaskan momentum kukuh yang dicapai menerusi LTBP2.0, yang diperkenalkan pada 2020 dan akan berakhir bulan ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula kewangan MAG yang berjaya, menyaksikan pengurangan liabiliti melebihi RM15 bilion serta penghapusan hutang legasi berjumlah RM10 bilion.
Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan LTBP2.0, kumpulan mencatatkan prestasi paling kukuh dalam tempoh lebih sedekad dengan keuntungan operasi tiga tahun berturut-turut dan pendapatan bersih selepas cukai positif dua tahun tahun berturut-turut
Katanya, Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) mencapai 84 peratus setakat tahun ini berbanding 80 peratus pada 2024, mencerminkan penambahbaikan berterusan dan fokus yang jelas terhadap kualiti perkhidmatan.
"LTBP 3.0 menggariskan pelan hala tuju kami dari 2026 hingga 2030, menandakan peralihan daripada fasa penstabilan kepada pertumbuhan berskala dan berdisiplin. Ia akan memperkukuh kedudukan premium dan memperdalam nilai yang dicipta merentasi ekosistem penerbangan yang lebih luas.
"Teras pelan ini ialah rangkaian yang berfokus dan strategi armada yang meletakkan kami untuk fasa pertumbuhan seterusnya, membolehkan kami memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan capaian yang lebih besar, kecekapan dan pengalaman pelanggan yang tinggi dan cita-cita kami untuk melihat Malaysia Airlines berada dalam kedudukan antara 10 syarikat penerbangan global teratas Skytrax menjelang 2030," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Image via Nabila Adlina AzahariDi bawah LTBP3.0, MAG akan menawarkan pengalaman perjalanan premium menyeluruh yang menetapkan penanda aras baharu Hospitaliti Malaysia daripada pusat panggilan hingga ke kabin, dengan meningkatkan pemperibadian, kualiti perkhidmatan dan pelaksanaan perjalanan yang lancar
Ia disokong oleh pengembangan kapasiti melebihi 50 peratus pada kadar pertumbuhan tahunan purata 8.5 peratus iaitu pembaharuan armada berterusan termasuk pelaburan dalam 40 A330neo, 43 Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10, bagi menyokong aspirasi mengendalikan armada utama moden sebanyak 116 pesawat menjelang 2035.
MAG akan membina perkongsian yang lebih kukuh dan pintar bagi memperluas capaian global, membolehkan perjalanan lancar ke lebih 1,100 destinasi di seluruh dunia.
Kerjasama itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan yang berhubung serta membuka nilai baharu dalam ekosistem perjalanan dan penerbangan.
MAG membawa visi mahu membina keupayaan organisasi yang kukuh melalui pembangunan bakat dan kepakaran teknikal menerusi peningkatan kemahiran berstruktur di samping menerapkan penambahbaikan berterusan dan amalan terbaik bertaraf dunia merentasi semua fungsi bagi memastikan standard operasi yang konsisten dan unggul di seluruh kumpulan.
MAG mempunyai matlamat untuk memperkukuh daya tahan kewangan dengan mengembangkan perniagaan pihak ketiga di luar perniagaan penerbangan, disokong oleh peluasan keupayaan kargo, keupayaan katering dalam penerbangan hujung ke hujung serta sinergi yang lebih besar merentasi MAG melalui penyelarasan komersial dan keupayaan bersama; seterusnya meningkatkan pengaruh keseluruhan kumpulan dalam ekosistem penerbangan yang lebih luas.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 