Mahkamah Tinggi Tetapkan 23 Disember Untuk Permohonan Tunda Hukuman Penjara Ibu Zayn Rayyan
Ismanira telah memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun pada 19 November lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 23 Disember ini untuk mendengar keputusan permohonan Ismanira Abdul Manaf bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Raja Zaizul Faridah ketika prosiding berkata, tiada keperluan istimewa atau khas bagi membolehkan mahkamah memberikan penangguhan hukuman terhadap wanita berkenaan.
Beliau berkata, Ismanira selaku perayu menggunakan alasan bahawa sekiranya penangguhan tidak diberi, ia akan memberi kesan sia-sia terhadap permohonan berkenaan.
Katanya, pembelaan Ismanira juga tidak menunjukkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terkhilaf ketika menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
"Alasan perayu bahawa dia mempunyai anak yang masih kecil malah menghidap autisme juga tidak termasuk dalam keadaan khas tersebut," katanya.

Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya itu 19 November lalu
Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira menghujahkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya itu wajar dipertimbangkan berikutan wujud keadaan istimewa membabitkan anaknya yang autistik.
Menurutnya, anak kedua wanita itu yang berusia enam tahun kini berada di bawah jagaan suaminya dan memerlukan perhatian serta sokongan emosi berterusan daripada ibu.
Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya yang juga kanak-kanak autistik sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Oktober lalu, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 