Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tolak Permohonan Tahanan Rumah, Najib Kekal Di Penjara Kajang
Pada 1 April 2024, Najib telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd
Menerusi laporan Berita Harian, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib, membolehkan kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
"Titah Adendum bukanlah satu perintah yang sah. Sehubungan itu perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan," katanya.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim membuat keputusan selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan
Menerusi laporan Buletin TV3, hakim mendapati Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
"Untuk ditegaskan sekali lagi, Yang di-Pertuan Agong ialah seorang Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini.
"Ia mesti dilaksanakan dalam rangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan. Perintah Addendum tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.
"Tiada pematuhan terhadap Perkara 42. Oleh itu, perintah tersebut bukan suatu perintah yang sah. Para responden tidak mempunyai kuasa dan tidak mempunyai kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya.
"Sebaliknya, pemohon juga tidak mempunyai hak untuk mendapatkan perintah mandamus. Dalam keadaan ini, permohonan semakan kehakiman dalam itu ditolak," jelasnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 