Mahkamah Rayuan Terkhilaf Dari Segi Undang-Undang Bebaskan Syed Saddiq – Pihak Pendakwaan
Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq, mengetepikan sabitan, hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta (RM10 juta), dan dua sebatan rotan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekan seorang saksi utama dalam perbicaraan rasuah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengubah suai keterangan bagi memuaskan hati pihak berkuasa
Menerusi laporan Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa tiada bukti untuk menyokong dakwaan sedemikian yang dibuat oleh mahkamah rayuan terhadap pihak pendakwaan dan SPRM.
"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka membuat dakwaan tidak berasas terhadap pendakwaan dan SPRM dengan mendakwa mereka telah menekan saksi pendakwaan, bekas penolong bendahari BERSATU, Rafiq Hakim Razali, untuk memberi keterangan dengan cara yang akan 'memuaskan hati' SPRM dan mengubah suai keterangannya untuk pihak pendakwaan.
"Mahkamah Rayuan juga tersilap menilai keterangan pendakwaan, terpengaruh dengan tanggapan bahawa SPRM dan pendakwa raya telah menggunakan Rafiq Hakim untuk memberi keterangan yang buruk, yang menyebabkan keterangannya ditolak.
"Sebenarnya, apabila dilihat secara keseluruhan, keterangan Rafiq Hakim mencerminkan kebenaran seperti yang disahkan semasa pemeriksaan balas," katanya menerusi petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Dakwa mahkamah terkhilaf selepas tidak menerima keterangan yang tidak memihak Syed Saddiq
Wan Shaharuddin mendakwa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila enggan menerima masuk keterangan yang tidak memihak kepada responden (Syed Saddiq) sebelum pengeluaran wang RM1 juta (RM1 juta) daripada dana Armada pada 6 Mac 2020, walaupun keterangan itu penting dalam membuktikan niat tidak jujur Ahli Parlimen Muar itu.
Katanya, mahkamah rayuan gagal mempertimbangkan keseluruhan bukti dalam rekod rayuan, yang akan menunjukkan bahawa arahan Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dipengaruhi oleh niat tidak jujur.
"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka gagal mempertimbangkan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan Rafiq Hakim melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka gagal menjalankan penilaian semula yang kritikal terhadap bukti, walaupun Syed Saddiq gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Hakim-hakim Mahkamah Rayuan juga terkhilaf apabila mereka memilih untuk menilai semula bukti, tetapi melakukannya secara terpilih, mengakibatkan salah laksana keadilan yang tidak boleh diperbetulkan," katanya.
Wan Shaharuddin mendakwa mahkamah rayuan juga terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan bahawa pembelaan Syed Saddiq, secara keseluruhan, hanyalah penafian semata-mata dan difikirkan kemudian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 