Mahkamah Persekutuan Tetapkan 11 Disember Ini Untuk Rayuan Pendakwaan Kes Syed Saddiq
Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan pada 27 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan selama dua hari untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan pada 25 Jun lalu daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, atas dakwaan kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Menerusi laporan Harian Metro, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding pengurusan kes melalui aplikasi Zoom hari ini, memberitahu mahkamah menetapkan pada 11 dan 12 Disember ini untuk mendengar rayuan itu.
Wan Shaharuddin berkata, pihaknya juga diarahkan untuk memfailkan hujahan bagi rayuan itu pada atau sebelum 26 November ini.
Beliau berkata, prosiding berkenaan yang dijalankan melibatkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof dan Mahyun Yusof turut dihadiri peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selaku perayu.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan pada 27 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwa Raya sebelum ini mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan
Pada 22 September lalu, Pendakwa Raya selaku perayu memfailkan petisyen rayuan dengan mengemukakan 25 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Sehubungan itu dalam petisyen rayuan berkenaan, Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan perintah sabitan serta hukuman hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap responden dikembalikan.
Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan bagi tuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 kanun sama dan empat bagi dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.
Mahkamah Rayuan memutuskan Syed Saddiq tidak bersalah sekali gus menerima rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan beliau.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 