Mahkamah Persekutuan Sahkan Hukuman Sebat Adalah Di Bawah Berperlembagaan & Ikut Undang-Undang
Hukuman sebat tidak bertujuan menyebabkan kematian seperti hukuman mati.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan hukuman sebat adalah di bawah perlembagaan
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika menyampaikan keputusan majoriti 2-1 mahkamah, berkata hukuman itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5 menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, manakala Perkara 8 memastikan kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan yang sama tanpa diskriminasi.
Keputusan tersebut diberikan berpunca daripada cabaran undang-undang oleh tiga banduan yang memohon bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan hukuman sebat terhadap mereka atas alasan hukuman terbabit membawa risiko kematian dan bersifat arbitrari.
"Berdasarkan tujuan asalnya, hukuman sememangnya direka untuk bersifat menghukum.
"Mengasingkan hukuman sebat sebagai sesuatu yang sangat kejam atau menjatuhkan maruah, adalah mengabaikan hakikat bahawa semua bentuk hukuman yang sah, pada tahap tertentu, menjejaskan maruah dan keselesaan individu," katanya.
Difahamkan, hukuman sebat tidak bertujuan menyebabkan kematian seperti hukuman mati yang bertujuan melucutkan hak untuk hidup.

Istana Kehakiman, Putrajaya.
Image via Berita HarianCabaran tersebut adalah bersandarkan kepada kematian banduan, Mohd Zaidi Abdul Hamid, pada 2024 beberapa hari selepas disebat di Penjara Pokok Sena
Punca kematiannya direkodkan sebagai 'sekuela septik akibat trauma hentakan tumpul pada bahagian gluteal'. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti yang mengaitkan secara langsung hukuman diberikan terbabit dengan kematiannya.
Mahkamah berpendapat kematian itu lebih berkemungkinan berpunca daripada faktor perantaraan, termasuk kemungkinan salah urus perubatan.
"Untuk menyatakan kematian itu merupakan akibat langsung daripada hukuman sebat tanpa sebarang bukti perubatan yang jelas, adalah bersifat andaian dan spekulasi," katanya.
Wan Ahmad Farid menegaskan berhubung Perkara 5, beban terletak pada pemohon untuk membuktikan pelanggaran jelas terhadap prinsip Perlembagaan namun mereka gagal berbuat demikian.
Katanya, hukuman sebat tidak bertujuan menyebabkan kematian dan tertakluk kepada perlindungan bawah undang-undang, termasuk pengawasan perubatan mandatori.
"Satu risiko kematian yang bersifat terpencil, tidak mencukupi untuk memenuhi beban pembuktian bahawa ia tidak berperlembagaan," katanya.

Gambar sekadr hiasan.
Image via FMTMahkamah menolak hujahan menyatakan hukuman sebat merupakan hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah
Wan Ahmad Farid berkata semua bentuk hukuman jenayah membawa implikasi serius dan hukuman sebat tidak seharusnya diasingkan.
Mengenai kesamarataan bawah Perkara 8, mahkamah memutuskan bahawa kerangka yang diperkenalkan susulan pemansuhan hukuman mati mandatori, adalah sah dan seimbang.
Mahkamah menyatakan Parlimen memperuntukkan hukuman sebat sebagai alternatif kepada hukuman mati, bersama hukuman penjara dengan had dan perlindungan yang jelas.
Mahkamah juga memutuskan bahawa pengecualian hukuman sebat terhadap wanita dan kategori pesalah tertentu, tidak menjadi diskriminasi yang tidak berperlembagaan.
Tambahnya, peruntukan sedemikian merupakan layanan keutamaan yang dibenarkan, bukannya diskriminasi yang memudaratkan di mana persoalan mengenai moral atau kesesuaian sesuatu hukuman adalah terletak dalam bidang kuasa Parlimen, bukannya mahkamah. Beliau memaklumkan, "Ia bukan fungsi mahkamah ini untuk bertindak sebagai penentu moral atau 'super-legislature'."
Mahkamah turut menegaskan perjanjian antarabangsa tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang domestik melainkan diluluskan oleh Parlimen.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 