Mahkamah Benarkan Vivy Yusof & Suami Untuk Dapatkan Pasport Sementara Ke Istanbul & Bosnia
Ini merupakan kali kedua mereka diberikan pelepasan selepas mendapat kelulusan sebelum ini menunaikan umrah pada Disember lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar mendapatkan pasport sementara membolehkan mereka menghadiri program Islamik di Istanbul dan Bosnia
Menerusi laporan Bernama, Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan selepas membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj yang mewakili pasangan berkenaan untuk mendapatkan pasport mereka bermula semalam, 7 Oktober hingga 12 November.
"Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini. Ia perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 13 November," katanya.
Terdahulu, Shaarvin berkata dua anak guamnya akan menghadiri program 'Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim' dari 4 hingga 11 November ini.
"Saya mohon pasport diserahkan hari ini untuk permohonan visa dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 13 November," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah, berkata pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu dan tidak membantah permohonan berkenaan.

Pasangan terbabit sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta
Pada 5 Disember tahun lalu, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank FashionValet Sdn Bhd kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli Lembaga Pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di Plaza Damansara, Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 