LM Tree Corporate Raikan 56 Anak-Anak Yatim Nur Hati, Tekankan Belanja Berhemah Menjelang Aidilfitri
LM Tree Corporate juga tidak melepaskan peluang untuk menitipkan pesanan penting mengenai pengurusan wang.
Cover image via @lmtreecorporate (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Syarikat perunding kewangan terkemuka, LM Tree Corporate Sdn Bhd, membuktikan komitmen murninya terhadap komuniti dengan menganjurkan majlis berbuka puasa khas bagi menyantuni 56 anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, baru-baru ini
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini diadakan bertujuan untuk berkongsi kegembiraan Ramadan serta memastikan golongan yang kurang bernasib baik tidak dipinggirkan dalam persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Pengarah Eksekutif LM Tree Corporate, Muhammad Sufian Aziz, menjelaskan bahawa majlis tersebut bukan sekadar jamuan berbuka puasa, malah simbol ukhuwah antara sektor korporat dan masyarakat. Program kali ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik seperti Jakel dan pasar raya Giant, selain sumbangan daripada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).
"Menjelang Hari Raya, pakaian baharu dan barangan dapur adalah keperluan asas yang paling dinantikan. Melalui kerjasama ini, Jakel membantu menyediakan kelengkapan baju raya, manakala Giant serta penyumbang lain menghulurkan barangan dapur dan keperluan harian buat anak-anak ini," ujar beliau.

Pengarah Eksekutif LM Tree Corporate, Muhammad Sufian Aziz
Image via @lmtreecorporate (Instagram)Pendidikan kewangan di tengah kemeriahan raya
Sebagai sebuah syarikat yang pakar dalam penyusunan semula kewangan dan penggabungan hutang sejak tahun 2016, LM Tree Corporate tidak melepaskan peluang untuk menitipkan pesanan penting mengenai pengurusan wang.
Muhammad Sufian menasihatkan orang ramai agar tidak terikut-ikut dengan emosi ketika berbelanja untuk persiapan raya sehingga membebankan kedudukan kewangan selepas musim perayaan.
"Kita mahu menyambut raya dengan meriah, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai selepas raya kita terpaksa menanggung beban hutang yang akhirnya menyusahkan diri sendiri," tegas beliau.
Meskipun LM Tree Corporate bukan sebuah NGO, syarikat ini komited melaksanakan aktiviti CSR secara konsisten. Program bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Hati ini merupakan inisiatif kedua bagi tahun 2026 selepas kolaborasi bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bagi perancangan masa hadapan, syarikat merancang untuk meluaskan jangkauan sumbangan menerusi program bersama sekolah dan kelab sukan demi memastikan kestabilan kewangan dan kebajikan sosial berjalan seiring dalam masyarakat.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



