Lelaki Menyamar Jadi Kurier Rogol & Samun Wanita, Maut Lepas Bergelut Dengan Polis
Kejadian terbabit difahamkan berlaku di Wangsa Maju.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki menyamar sebagai penghantar barang maut selepas bergelut dengan polis ketika hendak diberkas
Suspek ketika itu disyaki terbabit dalam kes samun dan rogol di sebuah kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, tengah hari Isnin lalu.
Menerusi laporan Berita Harian, suspek yang berusia 26 tahun cuba melarikan diri dengan menyerang anggota polis yang hendak memberkasnya dalam kejadian pada jam 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pecah rumah di lokasi berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, dua anggota polis bergegas ke lokasi dan memanggil penghuni rumah, namun tiada jawapan diterima.
"Lima minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum polis memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan masuk untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Image via BernamaSuspek menyerang polis dengan pisau pemotong daging
Fadil berkata, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis, menyebabkan berlaku pergelutan.
"Anggota polis berjaya mengelak sebelum suspek menumbuk muka dan menggigit tangan salah seorang daripada mereka. Dengan bantuan pengawal keselamatan, suspek akhirnya berjaya ditahan.
"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dan mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan laporan makmal telah dipohon bagi mengenal pasti punca sebenar.
"Pemeriksaan forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan nyata pada tubuh badan suspek," katanya.
Disyaki menyamun empat wanita dan merogol salah seorang daripada mereka
Katanya, siasatan lanjut mendapati semasa kejadian, empat wanita tempatan berada di dalam rumah berkenaan.
"Suspek mengikat tangan kesemua mangsa sebelum mengurung tiga daripadanya di bilik utama.
"Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali termasuk di bilik mandi. Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan," katanya.
Fadil berkata, dalam kejadian sama, suspek turut melarikan wang tunai RM200 serta kad ATM milik mangsa sebelum melakukan serangan tersebut.
Selepas ditangkap, suspek mengadu sesak nafas dan bantuan kecemasan ambulans dipanggil ke lokasi tetapi pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba 40 minit kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 