Lelaki Mengamuk Pegang Parang Masa Op Roboh Struktur Haram DBKL Kini Ditahan Polis
Lelaki terbabit memegang parang sambil menjerit-jerit ke arah penguat kuasa DBKL.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki ditahan setelah membuat provokasi sambil memegang sebilah parang ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan Op Roboh, di Desa Pandan
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata kejadian berlaku ketika pihaknya sedang membuat kawalan keselamatan tindakan meroboh struktur haram di atas siar kaki di kawasan itu dalam operasi bersepadu oleh DBKL bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB ) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS),
"Kejadian berlaku pada jam 11.17 pagi, di mana seorang lelaki telah datang dan membuat provokasi sambil memegang sebilah parang serta melibas sambil memaki hamun ke arah pasukan penguatkuasa DBKL.
"Lelaki terbabit kemudiannya ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan itu," katanya.

Pihak DBKL bertindak merampas parang milik suspek
Mohamad Lazim berkata, pihaknya kemudian merampas parang milik suspek di kawasan berhampiran bagi mengelakkan sesuatu lebih buruk berlaku.
"Kita menahan suspek berusia 43 tahun dan merampas sebilah parang miliknya di kawasan sekitar kejadian. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 dan mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Tambahnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang awam dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



