Lelaki Mati Ditembak Polis Lepas Culik Gadis 16 Tahun & Minta Wang Tebusan RM2 Juta
Keluarganya membayar RM280,000 dan menyerahkan beberapa barang kemas sebagai pertukaran untuk membebaskannya.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai terbabit kes penculikan seorang remaja perempuan dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi awal pagi tadi
Menerusi laporan Berita Harian, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, suspek berusia 21 tahun memandu kereta jenis Proton Wira yang dikesan digunakan menurunkan mangsa di satu lokasi di Sendayan selepas wang tebusan dibayar.
Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus memberitahu suspek enggan memberhentikan kenderaannya selepas diarahkan.
Tetapi, sebaliknya bertindak merempuh kenderaan polis dan melepaskan tembakan ke arah anggota yang mengejarnya.
"Suspek berjaya dipintas sebelum ditembak mati di tempat kejadian.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sepucuk pistol dan sebilah parang," katanya.
Image via Berita Harian
Keluarga hanya membayar RM280,000 dan sejumlah barang kemas sebelum mangsa dibebaskan
Tambah Fadil, remaja perempuan berusia 16 tahun itu telah diculik pada jam 5.45 petang, 10 April lalu di Seremban sebelum keluarganya menerima tuntutan wang tebusan sebanyak RM2 juta.
Bagaimanapun, keluarga mangsa hanya membayar RM280,000 bersama sejumlah barang kemas sebelum mangsa dibebaskan keesokan harinya di Sendayan pada jam 8.30 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan dan maklumat orang awam membawa kepada beberapa siri serbuan dan tangkapan berkaitan kes berkenaan.
"Lelaki ini adalah seorang daripada suspek yang dikenal pasti terbabit kes penculikan ini.
"Selain itu, ada beberapa serbuan dan tangkapan yang kita buat sejurus selepas kejadian, kita masih meneruskan siasatan," katanya.
Sementara itu, polis turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat sehingga membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes penculikan tersebut.
Image via Berita Harian
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


