Lelaki ‘Hilang’ Kaki Ketika Main Bunga Api Di Segamat – “Malang Tak Berbau”
Berhati-hati di musim perayaan ini!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kehilangan kaki selepas kemalangan bunga api di luar rumahnya di Segamat, Johor
Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata kejadian berlaku jam 12.30 pagi pada Selasa, 17 Februari itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, kemudian dikejarkan ke zon merah Hospital Segamat untuk rawatan.
Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa menjalani pembedahan pemotongan di bawah lutut pada kaki kirinya dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang mengendalikan bunga api '4D 16 Shot (Premium) shoot cake' di hadapan rumahnya di Taman Damai Jaya, Bukit Siput sempena sambutan Tahun Baru Cina," kata Mohd Jumazanzahir dalam satu kenyataan.
Menurut China Press, teman wanita lelaki terbabit turut cedera dalam kejadian berkenaan.

Kotak bunga api itu dilaporkan terbalik semasa menembak, mengenai anggota badan bawah lelaki itu
Kemalangan itu turut menyebabkan berlaku kelecuran pada lengan dan kaki teman wanitanya yang juga dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan.
Video insiden terbabit yang tular di media sosial mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen, dengan ramai yang menyatakan bahawa kotak bunga api itu tidak dikunci sebelum dinyalakan.
"Itu bukan kotak yang dikunci," komen seorang pengguna Facebook.
"Bunga api ini mempunyai kuasa letupan yang tinggi. Apabila dipasang, anda harus menggunakan objek berat untuk menyokong sisi kotak untuk keselamatan.
"Jika ia mengenai badan atau kepala anda, akibatnya boleh menjadi bencana. Walaupun bunga api menyeronokkan, adalah lebih selamat untuk mengelakkan bermain dengan bunga api yang berpotensi membahayakan," ujar seorang lagi pengguna.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957
"Bagi kesalahan yang melibatkan menyebabkan letupan yang membahayakan nyawa, dan memiliki bahan letupan, undang-undang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda RM10,000, atau kedua-duanya," kata Mohd Jumazanzahir.
Katanya, orang ramai diingatkan untuk hanya menggunakan bunga api yang dibenarkan di kawasan terbuka dan mematuhi langkah berjaga-jaga keselamatan,
Beliau turut memberi amaran bahawa penyalahgunaan boleh mengakibatkan kecederaan serius serta akibat undang-undang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 