Lebih 5,000 Peserta Dari Dalam & Luar Negara Bakal Berentap Di Malaysia Techlympics 2025
Malaysia Techlympics 2025 akan berlangsung pada 9 dan 10 November ini di MITC, Melaka.
Cover image via MOSTIFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysia Techlympics 2025 bakal melakar sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari seluruh negara dan antarabangsa untuk berentap dalam peringkat kebangsaan atau final yang berlangsung pada 9 dan 10 November ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka ( MITC), Melaka
Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu mencatatkan penyertaan luar biasa tahun ini dengan lebih 1.84 juta penyertaan dari 1,420 sekolah di seluruh negara, menjadikannya program pembudayaan STI paling besar sejak diperkenalkan pada 2022.
Tahun ini juga menyaksikan penyertaan antarabangsa dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan China, yang bakal bertanding dalam empat acara utama di peringkat akhir.

Menurut, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Abdullah Daud, Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan nasional pembudayaan STI yang menyemai minat terhadap sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda berusia antara 7 hingga 30 tahun.
"Kami mahu pelajar rasa bangga, ibu bapa rasa yakin, dan masyarakat melihat bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan. Dari pentas Malaysia Techlympics ini, mungkin lahir saintis, pencipta dan usahawan teknologi masa depan negara.
"Penyertaan pasukan antarabangsa dan peluang ke kejohanan global dalam program ini membuktikan komitmen Malaysia untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia ke pentas dunia," ujarnya.
MOSTI sasar kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada hari kemuncak, dengan kemasukan percuma untuk orang ramai
Selain membawa pulang trofi dan wang tunai keseluruhan bernilai RM141,100, pemenang akan mewakili Malaysia ke pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa, antaranya, Pilot X International di Hong Kong pada Februari 2026 yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia.
Salah satu keunikan Malaysia Techlympics ialah pendekatan inklusif dan menyeluruh. Tidak seperti pertandingan lain yang hanya mencari pemenang terbaik, program ini menekankan tagline, luar biasa, global dan inklusif.
Justeru, tahun ini, seramai 2,500 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut serta dalam pertandingan Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman).
Lebih menarik, jika sebelum ini pertandingan hanya dijalankan secara dalam talian, kali ini peserta PPKI akan turut berentap secara fizikal di pentas akhir.

Bagi memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau keupayaan mendapat peluang yang sama, MOSTI telah menjalankan lebih 90 program keterangkuman atau outreach di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli.
Selain pertandingan Malaysia Techlympics, MITC Melaka akan menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk pameran STI dengan 40 ruang pameran interaktif, demonstrasi teknologi, aktiviti sains dan pertunjukan khas.
"Salah satu tarikan utama pada acara kali ini ialah pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia, melibatkan 40 unit dron yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Records," kata Abdullah Daud.
MOSTI mensasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada hari kemuncak, dengan kemasukan percuma untuk orang ramai.
Untuk rekod, Malaysia Techlympics ialah inisiatif yang dianjurkan oleh MOSTI berbentuk pertandingan untuk memupuk minat dan bakat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pertandingan dan aktiviti yang kreatif dan kompetitif.
Pertandingan peringkat akhir meliputi pelbagai tema seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pengkomputeran, dron dan percetakan 3D.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



