Lebih 45% Pasangan Di Malaysia Terjerat Beban Hutang Lepas Pinjam Bank Untuk Majlis Kahwin
Difahamkan, perbelanjaan perkahwinan di Malaysia antara tertinggi di ASEAN dengan kos purata antara RM50,000 hingga RM200,000.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Hampir separuh daripada pasangan di Malaysia terpaksa membuat pinjaman bank bagi membiayai majlis perkahwinan sehingga terjerat dalam masalah kewangan
Menerusi laporan Berita Harian, kajian bukti konsep (POC ) yang dijalankan Future Studies Berhad (THE FUTURE) mendapati 45.8 peratus daripada responden mengakui terpaksa mengambil pinjaman dengan jumlah perbelanjaan perkahwinan kebanyakannya dalam lingkungan RM20,001 hingga RM40,000.
Ketua Ekonomi THE FUTURE, Dr Mohd Yusof Saari berkata pinjaman peribadi merupakan sumber pembiayaan utama dengan 58.8 peratus responden memilih untuk menggunakan kaedah terbabit.
"Ia diikuti kad kredit dan pilihan 'beli sekarang, bayar kemudian', masing-masing 16.6 peratus, yang menunjukkan kebergantungan kepada kemudahan kredit jangka pendek.
"Lebih separuh iaitu 54.5 peratus daripada peminjam menghadapi tempoh bayaran balik melebihi lima tahun, menggambarkan tekanan kewangan jangka panjang yang dikaitkan dengan hutang berkaitan perkahwinan," katanya.

Mohd Yusof Saari.
Image via Berita Harian10 hingga 20 peratus pendapatan bulanan digunakan untuk bayar balik
Menurut Mohd Yusof, lebih separuh atau 54.5 peratus responden memperuntukkan antara 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan mereka untuk bayaran balik pinjaman perkahwinan.
Katanya, walaupun 72.7 peratus masih berada di landasan betul dalam membuat bayaran balik, lebih suku atau 27.3 peratus mengalami tunggakan.
"Ia sekali gus menandakan tekanan kewangan yang mula dirasai dalam kalangan peminjam," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah 10,815 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di Selangor dalam tempoh Januari hingga September lalu dengan faktor utama adalah isu kewangan dan masalah komunikasi.
Di samping itu, Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad mendedahkan inflasi, peningkatan kos dewan dan katering, serta jangkaan masyarakat menyebabkan perbelanjaan sesuatu majlis perkahwinan melonjak antara RM50,000 dan RM200,000.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 