Lebih 30,000 Peserta Bakal Sertai Larian Malaysia Sarong Music Run (MSMR 2025) 20 September Ini
Acara selepas larian turut dimeriahkan dengan konsert dan persembahan kebudayaan bermula pukul 6.30 petang.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penganjuran larian Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025 dijangka berlangsung meriah apabila lebih 30,000 pengunjung bakal menghangatkan acara itu pada 20 September ini
MSMR dianggap unik berbanding penganjuran larian lain di mana selain peserta mengamalkan budaya sihat dengan menyertai acara larian, penganjur turut menyediakan beberapa aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, konsert dan makanan tradisional buat peserta.
Malah, acara ikonik ini mencatat sejarah apabila menerima penyertaan peserta dari 26 negara, sekaligus menegaskan kedudukannya sebagai sebuah acara kebudayaan bertaraf antarabangsa.

Bagi salah seorang peserta larian elit, Muhammad Khairul Anwar Ghazali, dia mahu menjadikan MSMR sebagai pentas memburu catatan lebih baik di mana rekod peribadinya dalam acara 5 kilometer (km) adalah 17 minit 59 saat (s).
"Saya kalau boleh nak cuba lakukan bawah 17 minit. MSMR ini akan menghimpunkan ramai pelari seluruh dunia, jadi ia cukup mencabar dan mana tahu saya boleh melakar masa baharu," katanya yang berasal dari Bangi, Selangor itu.
Larian, muzik dan budaya dalam satu festival
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyempurnakan penganjuran MSMR 2025 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara hari ini.
Dengan kombinasi penyertaan 26 negara dan jangkaan 30,000 pengunjung, MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 diyakini akan terus mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Presiden Malaysia Marathon Official Sdn Bhd, Eddy Casmady, turut menegaskan keunikan MSMR menggabungkan elemen larian, budaya dan gaya hidup sihat.
"MSMR bukan sekadar larian. Peserta akan berlari sejauh 5KM sambil memakai sarong, menikmati makanan tradisional Malaysia di sepanjang laluan dan menghayati persembahan muzik tradisional tempatan.
"Dengan kehadiran peserta dari 26 negara dan lebih 30,000 pengunjung dijangka membanjiri acara ini, MSMR akan menjadi festival rakyat yang mencerminkan keindahan budaya Malaysia di mata dunia," kata Eddy.
Untuk rekod, JETOUR Malaysia dengan bangganya diumumkan sebagai 'Penaja Utama' dan 'Rakan Kereta Rasmi' bagi MSMR Sempena Hari Malaysia 2025, sejajar dengan komitmen jenama dalam menyokong acara nasional yang mengangkat budaya, kesejahteraan serta semangat komuniti.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



