Lebih 145 Negara Ahli PBB Termasuk Britain, Australia, Kanada & Portugal Kini Iktiraf Palestin Sebuah Negara

Israel berdepan tekanan antarabangsa berhubung perang di Gaza yang meragut puluhan ribu nyawa serta telah mencetuskan krisis kemanusiaan.

Enlarge text
Cover ImageCover image via The Daily Guardian & VOI
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Langkah bersejarah Britain, Australia, Kanada dan Portugal semalam yang mengiktiraf Negara Palestin mencetuskan kemarahan Israel

Menerusi laporan Berita Harian, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan negara Palestin tidak akan wujud malah berikrar mahu memperluas penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967.

Hari ini, beberapa negara lain termasuk Perancis dijangka mengikut jejak itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Pengumuman Britain dibuat selepas Perdana Menterinya, Keir Starmer berkata pengiktirafan Palestin membawa tujuan 'mengembalikan harapan keamanan kepada rakyat Palestin dan Israel serta penyelesaian dua negara'.

Netanyahu menyifatkan desakan pengiktirafan Palestin sebagai 'tidak masuk akal' dan mendakwa ia bakal 'mengancam kewujudan' Israel.

"Ia tidak akan berlaku. Tiada negara Palestin akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan," tegasnya.

SAYS.com
Image via IRNA

Britain dan Kanada jadi anggota pertama kumpulan negara maju G7 mengambil langkah berkenaan

Langkah berkenaan dilihat sebagai detik penting bagi rakyat Palestin dan aspirasi mereka menubuhkan negara sendiri selepas kuasa besar Barat sekian lama berpendirian pengiktirafan hanya wajar dibuat melalui rundingan damai dengan Israel.

Sehingga kini menurut statistik AFP, tiga perempat negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengiktiraf Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 145 daripada 193 negara anggota.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata langkah itu 'mengiktiraf aspirasi sah dan sudah lama diperjuangkan rakyat Palestin,' manakala Menteri Luar Portugal, Paulo Rangel menegaskan penyelesaian dua negara 'satu-satunya jalan ke arah keamanan adil dan berkekalan'.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata selepas pertemuan dengan Starmer, 'salah satu daripada beberapa perbezaan kami' ialah mengenai penubuhan negara Palestin.

SAYS.com
Image via Nasser Shiyoukhi/AP

Disifatkan sebagai kemenangan moral oleh penduduk Gaza

Di Gaza, ramai melihat pengiktirafan itu sebagai pengesahan kewujudan mereka selepas hampir dua tahun peperangan antara Israel dan Hamas.

"Pengiktirafan ini menunjukkan dunia akhirnya mula mendengar suara kami dan itu sendiri adalah kemenangan moral.

"Walaupun berdepan kesakitan, kematian dan pembunuhan beramai-ramai, kami tetap berpaut pada apa sahaja yang mampu memberi sedikit harapan," kata Salwa Mansour, 35, yang dipindahkan dari Rafah ke Al-Mawasi.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan pengiktirafan itu sebagai 'langkah penting dan perlu ke arah mencapai keamanan adil serta berkekalan'.

Meskipun lebih bersifat simbolik, langkah itu meletakkan empat kuasa barat berkenaan bercanggah dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: