Kumpulan Pendidikan As Sofa Umum Bakal Bina Kolej Universiti RM15 Juta Di Rembau, Negeri Sembilan
Bangunan mercu tanda itu akan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Cover image via Kolej Islam As-SofaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) mengorak langkah proaktif dalam memartabatkan pendidikan Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan melancarkan projek pembinaan kampus tetap Kolej Islam As Sofa di Rembau, Negeri Sembilan
Projek yang menelan kos anggaran RM15 juta itu merupakan syarat utama bagi menaik taraf kolej berkenaan kepada status kolej universiti.
Bangunan mercu tanda ini akan dibina di atas kawasan seluas 3,251 meter persegi dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Pembinaan ini juga menamatkan penantian selama 14 tahun kolej tersebut yang selama ini beroperasi di bangunan sewa.
Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof, menjelaskan bahawa pemilihan Rembau dibuat selepas perbincangan bersama Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yassin, memandangkan lokasi terdahulu di Mantau dan Hulu Langat didapati kurang sesuai atas faktor teknikal tanah dan bekalan elektrik.
"Dana awal sebanyak RM150,000 telah berjaya dikumpul menerusi majlis makan malam amal yang diadakan baru-baru ini. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut masih belum mencukupi dan kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat serta pihak korporat bagi merealisasikan pembinaan ini," katanya.

Syarat penaiktarafan sebagai kolej universiti
Menurut Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz, kampus tetap ini perlu memenuhi kriteria ketat kementerian termasuk:
- Kapasiti Pelajar: Berupaya menampung minimum 1,000 orang pelajar.
- Kualiti Tenaga Pengajar: Memastikan 60 peratus pensyarah memiliki kelulusan PhD.
- Akreditasi Program: Mempunyai program yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau menambah, Kolej Islam As Sofa mempunyai keunikan tersendiri dengan menekankan elemen tarbiah dan turath, selain memiliki hubungan eksklusif dengan institusi pendidikan di Maghribi.
Majlis pelancaran dana tersebut turut dihadiri oleh pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, serta empat ulama besar keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris dari Arab Saudi. Majlis tersebut juga meraikan kejayaan Sheikh Muhammad Fuad merangkul PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi, serta graduan Master dan PhD kolej tersebut sepanjang lima tahun lepas.
Masyarakat yang ingin menyalurkan sumbangan bagi menyokong pembangunan pendidikan Islam ini boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB: 8604424793 (Kolej Islam As Sofa) atau hubungi Ustaz Shah di talian 013-210 7642 untuk maklumat lanjut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



