Kucing Oyen Viral Yang Selalu Duduk Di Sisi Kubur Penjaganya Kini Sudah ‘Tiada’
Damailah di sana, bebas di angkasa.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ciku, seekor kucing jantan yang setia di sisi kubur penjaganya yang sudah meninggal dunia kini sudah 'pergi' buat selamanya
Menerusi laporan Harian Metro, tidak sampai dua bulan selepas pemergian penjaganya, Ciku dilaporkan sudah mati pada malam kelmarin.
Menurut cucu kepada penjaga kucing tersebut, Allahyarham Mohd Bakri Hassan, Daniel Hareez Mohd Azhar, 29, berkata Ciku sangat rapat dengan datuknya malah setia di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
"Ciku dibela nenek kira-kira 15 tahun lalu tapi Ciku lebih rapat dengan datuk. Ditakdirkan datuk meninggal dunia pada 24 Jun lalu akibat sakit tua dan masalah buah pinggang.
"Sejak itu, Ciku jadi lemah hingga tubuhnya kurus kering. Nampak Ciku macam kemurungan juga mungkin kerana rindukan datuk," katanya.
Tambahnya, dia sempat membawa Ciku menziarahi kubur datuknya pada pagi Sabtu lalu dan perasan ia lebih aktif berbanding sebelumnya.
"Daripada lemah, sampai saja tanah perkuburan, Ciku nampak lain dan aktif. Boleh nampak Ciku seronok cuma susah sikit waktu nak balik kerana Ciku macam tak nak berganjak dari kubur.
"Ada saja yang dilakukan termasuk baring atas kubur dan akhirnya baru boleh bawa Ciku balik, itu pun selepas angkat dan masukkan dalam sangkar," katanya.
Kembali kelihatan 'suram' selepas dibawa pulang dari kubur
Daniel Hareez berkata, Ciku kembali jadi pasif selepas pulang ke rumah sampai tidak berselera untuk makan.
Melihatkan keadaan Ciku itu membuatkannya tersedar bahawa kucing itu sememangnya terkesan dengan pemergian datuknya.
"Selang dua hari selepas pulang dari tanah perkuburan, jumpa Ciku dalam keadaan tak bernyawa di dalam tandas.
"Seminggu sebelum Ciku mati, ada bawa Ciku berjumpa doktor veterinar selepas mendapati tulang belakangnya timbul.
"Menurut doktor, organ dalamannya bermasalah dan sudah tak boleh buat apa-apa. Tak sangka Ciku mati tak sampai dua bulan selepas datuk meninggal dunia," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



