KTMB Umum Tamatkan Operasi Perkhidmatan Ekspres Selatan Gemas – JB Sentral – Gemas
Difahamkan, ia akan digantikan melalui pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) mulai 2026.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Operasi tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas-JB Sentral-Gemas akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Januari ini selepas sembilan tahun beroperasi dan berkhidmat kepada penumpang di sektor selatan
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam, penamatan operasi itu membabitkan enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang kini beroperasi, iaitu No 41, 42, 43, 44, 45 dan 46.
Ia merupakan sebahagian daripada penyelarasan perancangan dan pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan, sejajar dengan kemajuan serta kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.
"Langkah ini juga bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang," menurut kenyataan itu.
KTMB turut memaklumkan keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan akan terus diperkukuh melalui pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) hingga ke JB Sentral dengan lapan perkhidmatan sehari mulai 1 Januari ini.
"Dengan lengkapnya perkhidmatan ETS ini, penumpang kini menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam, di samping menawarkan masa perjalanan yang lebih efisien serta pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa," menurut KTMB.

Perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa
Menurut KTMB, ia kekal sebagai pilihan perjalanan utama penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur, manakala perkhidmatan Shuttle Timuran turut disediakan sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti bagi laluan Gemas-Tumpat.
Ketua Pegawai Teknikal merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata KTMB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penumpang dan pengguna setia Ekspres Selatan atas sokongan berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan itu beroperasi.
"Setiap perjalanan, kenangan dan nostalgia bersama Ekspres Selatan akan sentiasa terpahat dalam ingatan seluruh warga kerja KTMB. Kami mengalu-alukan orang ramai untuk terus memilih dan menyokong perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan diyakini," katanya dalam kenyataan sama.
KTMB turut menasihati penumpang supaya membuat semakan jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi syarikat serta merancang perjalanan lebih awal melalui platform jualan tiket rasmi atau mendapatkan bantuan melalui Pusat Panggilan KTMB.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200 atau merujuk makluman terkini melalui saluran media sosial rasmi KTMB.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 