Kronologi Kes Kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh & Didakwa Diculik Oleh Anggota Polis
Difahamkan, tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berkaitan kehilangan wanita berkenaan.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak polis telah mengklasifikasikan kehilangan seorang wanita yang dikenali sebagai Datin Seri Pamela Ling Yueh dijadualkan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9 April lalu bagi memberi keterangan berkaitan satu siasatan sebagai kes culik
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan polis berkaitan kehilangan wanita itu diterima di Balai Polis Presint 7 Putrajaya pada jam 3.02 petang hari sama.
Berikut adalah butiran kronologi kehilangan wanita itu, Datin Seri Pamela Ling Yueh.
Image via Harian Metro
Dalam perkembangan terkini, seorang pemandu e-hailing mendakwa dikepung tiga buah kereta, Pamela 'dilarikan' sebelum tiba di SPRM
"Mereka mendakwa sebagai anggota polis sebelum mengarahkan dia turun dari kenderaan."
Demikian pendedahan seorang pemandu e-hailing yang sepatutnya membawa Pamela Ling Yueh, 42, ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu, sebelum wanita itu didakwa dilarikan oleh beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Menurut saksi dikenali sebagai Kok, 50-an, kesemua individu terbabit berpakaian menyerupai seragam polis, manakala seorang daripadanya memakai vest bertulis 'Polis'.
"Ketika dalam perjalanan, tiga buah kereta muncul dan mengepung kenderaan saya dari arah depan, belakang dan sisi.
"Tiga lelaki keluar dari kenderaan tersebut, menghampiri saya dan memaklumkan bahawa penumpang saya akan ditahan bagi membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis," katanya.
Jelasnya lagi, pada mulanya Pamela enggan keluar dari kenderaan, menyebabkan seorang wanita berseragam cuba menariknya keluar secara paksa.
"Kemudian, dua lelaki terbabit memberi penjelasan kononnya ini adalah satu tangkapan dan dia (Pamela) akan dibawa ke balai polis berdekatan.
"Pamela akhirnya akur dan sebelum keluar, dia sempat memberi saya RM100 sebagai bayaran tambang," ujarnya.
Tambah Kok lagi, dia diarahkan untuk menekan butang lengkapkan perjalanan dalam aplikasi Grab sebelum kad pengenalannya, lesen memandu, dan nombor telefon diambil oleh kumpulan terbabit.
"Mereka terus beredar selepas itu. Saya pula segera membuat laporan polis.
"Kejadian ini menyebabkan saya tidak dapat bekerja selama dua minggu kerana perlu menunggu lesen baharu siap," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa telah dilarikan oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar
Beliau memaklumkan bahawa pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa pula berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berkaitan kehilangan wanita berkenaan.
Untuk rekod, Pamela merupakan isteri kepada Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, pengasas JoinLand Group.
Peguam Pamela juga memaklumkan bahawa pasangan itu sedang melalui proses perceraian yang rumit di Malaysia dan Singapura, membabitkan harta bernilai tinggi.
Pamela dan suaminya sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik

