Kolam Pameran Penyu Pesta Pelita Raya Di Kuala Nerus Diarah Tutup Susulan Terima Kecaman
Difahamkan, spesies dilindungi itu dijadikan sebagai tarikan dan ditempatkan dalam sebuah kolam kecil yang sempit.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) arah kolam pameran penyu di tapak Pesta Pelita Raya (PPR) di Gong Badak, Kuala Nerus, ditutup serta-merta
Menerusi laporan Harian Metro, arahan itu dikeluarkan banyak kecaman diterima di media sosial mengenai tindakan sebuah pavilion daerah yang menyertai PPR, menjadikan penyu sebagai tarikan dengan meletakkan haiwan berkenaan di dalam kolam yang sempit.
Tindakan terbabit mengundang kecaman pencinta haiwan dan netizen mendakwa haiwan yang dilindungi itu diperlakukan secara tidak wajar serta terdedah kepada persekitaran yang tidak sesuai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tindakan segera diambil sebaik sahaja beliau menerima aduan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi media sosial.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyu adalah spesies dilindungi dan sensitif terhadap cahaya terang serta persekitaran bising seperti di tapak PPR.
"Saya ditanya dalam satu hantaran di media sosial oleh sebuah NGO alam sekitar mengenai perbuatan ini dan tindakan drastik terus diambil oleh penganjur PPR," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Image via TRDIPameran berkenaan diarah dihentikan serta-merta demi kebaikan semua pihak
Razali mengingatkan semua pemilik pavilion supaya lebih peka serta sensitif dalam merancang sebarang aktiviti bagi menarik pengunjung supaya tidak menyalahi undang-undang atau menjejaskan kebajikan haiwan.
Sementara itu, Pengarah JPNT, Hilman Hajijan berkata pihaknya kesal akan kejadian itu dan mengarahkan pameran berkenaan dihentikan serta-merta demi kebaikan semua pihak.
"Saya sendiri sebagai pencinta penyu tidak menyokong tindakan itu kerana kita sedia maklum penyu tidak sesuai ditempatkan dalam ruang sempit dan terdedah kepada cahaya terang.
"Pihak penganjur juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pameran itu," katanya.
Katanya, kejadian terbabit menjadi pengajaran buat pihaknya untuk memperketatkan garis panduan pada masa akan datang dalam menganjurkan sebarang program.
Pihaknya berharap insiden itu tidak berulang dan mahu orang ramai terus melihat PPR sebagai simbol tradisi Ramadan yang cukup sinonim dengan masyarakat Terengganu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



