Klinik Swasta Alami Krisis, Lebih 70% Tak Cukup Hasil Pendapatan Untuk Tampung Operasi

Kajian yang dijalankan membabitkan hampir 2,000 klinik di seluruh negara.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Facebook & Reuters
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kajian daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati lebih 70% klinik pengamal perubatan am atau GP dikesan meraih pendapatan di bawah RM60,000 sebulan menyebabkan timbul isu untuk meneruskan operasi

Menerusi laporan Berita Harian, peningkatan jumlah pengamal perubatan am atau GP menyebabkan semakin kurangnya pesakit diterima.

Perkara ini memberi kesan terhadap sebahagian besar daripada 10,000 klinik swasta dalam negara kini berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi di samping faktor peningkatan kos termasuk harga ubatan juga menyumbang kepada perkara ini.

Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata daripada dapatan kajian itu, Kementerian Kesihatan (KKM) digesa meredakan kesesakan klinik kerajaan dengan menyerahkan kes kesihatan asas kepada klinik GP bagi membantu memperkasa kembali perkhidmatan mereka.

Menurutnya, hasila daripada kajian MMA, kira-kira 21.1 peratus atau 380 klinik memperoleh pendapatan di bawah RM20,000 sebulan; 32.4 peratus (583) dengan pendapatan RM20,000 hingga RM39,999 dan 18.4 peratus (332) membabitkan RM40,000 hingga RM59,999.

"Pada peringkat inilah operasi klinik banyak berdepan cabaran bagi kelestariannya dengan peningkatan kos operasi yang bertambah dan penambahan beban regulasi, selain persaingan perkhidmatan dalam talian yang tidak dikawal selia.

"Jika pelbagai isu yang membelenggu mereka sejak lebih 20 tahun ini tidak diambil serius KKM, kita bimbang lebih banyak klinik akan tutup sekali gus meruntuhkan sistem kesihatan primer swasta di negara ini.

"Kita tidak mempunyai data rasmi jumlah penutupan klinik tetapi ia dijangka membabitkan ratusan jumlah," katanya.

SAYS.com

Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu.

Image via Berita Harian

Hanya 17.8% klinik memperoleh pendapatan bulanan pada keadaan selesa iaitu melebihi RM80,000 sebulan

Dr Thirunavukarasu berkata sehingga kini terdapat lebih 10,000 klinik swasta yang beroperasi di seluruh negara ini dengan sebahagiannya bergelut untuk meneruskan operasi.

Difahamkan, berlaku penambahan kewujudan klinik-klinik swasta ketara selepas COVID-19 akibat pemberhentian doktor kontrak, berhadapan dengan masalah hala tuju kerjaya yang jelas sebagai doktor.

"Pergelutan dalam aspek pendapatan doktor klinik GP ada kaitannya dengan sistem kontrak dan tiada laluan kerjaya yang jelas oleh KKM sebelum ini.

"Beban kerja yang menekan dalam kalangan doktor muda menyebabkan mereka cenderung meninggalkan kerjaya perkhidmatan awam dan mengambil risiko membuka klinik dan membina kerjaya sebagai GP kerana berasa tidak dihargai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan situasi ini boleh beransur pulih selepas KKM mewartakan pindaan Jadual Ketujuh di bawah Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006 yang berkuat kuasa 2 April lalu berkaitan caj atau fi konsultasi, yang tidak disemak sejak 2006.

"Kita merakamkan penghargaan buat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang terbabit secara berterusan sekali gus membuktikan bahawa penjagaan primer bukan sekadar retorik namun satu keutamaan," katanya.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Hijraa Clinic

Aspek campur tangan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) turut menjadi kerisauan

Menurut Dr Thirunavukarasu, turut membimbangkan adalah campur tangan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) atau pihak insurans yang mengehadkan rawatan di mana perkara ini telah berlaku sekian lama tetapi tiada dasar untuk kawal selia isu terbabit melibatkan GP sejak 20 tahun lalu.

"Dari segi dasar KKM juga ada cabaran di mana kawal selia hanya dibuat dalam aspek pentadbiran klinik swasta dan bukannya untuk memperkasakan GP seperti mana klinik kesihatan awam.

"GP tiada dalam tadbir urus KKM, khususnya untuk pembangunan GP. Kalau nak selesaikan isu ini, dasar perlu betul, mesti ada dasar khusus untuk pembangunan klinik swasta," katanya.

Katanya, GP semakin terhimpit sejak 2015, ditambah lagi dengan kehadiran pihak berkepentingan komersial yang menggesa supaya pengasingan konsultasi dan pemberian ubat diwujudkan.

"Malah, lebih teruk banyak iklan di media sosial yang memaparkan premis klinik dijual kepada pihak lain kerana doktor tidak lagi mampu menampung operasi.

"MMA pernah mencadangkan supaya doktor yang berada dalam perkhidmatan awam didedahkan dengan bertugas di klinik kesihatan dan wad kecemasan bagi memudahkan laluan kerjaya mereka sebelum ini," katanya.

Dr Thirunavukarasu mendakwa, klinik swasta terlalu dikawal dengan pelbagai peraturan oleh pihak berkuasa yang terlalu cerewet termasuk isu saiz bilik rawatan, tandas dan pintu tetapi dalam masa yang sama perkhidmatan perubatan seperti tele-klinik dan farmasi tidak berdepan kawal selia ketat seperti itu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik