KKM Minta Orang Ramai Waspada Wabak Kencing Tikus Di Kuala Pilah
Gejala jangkitan termasuk demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya, muntah, dan cirit-birit.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah melaporkan satu wabak disyaki leptospirosis (kencing tikus) di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah melibatkan empat kes
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) semalam, 13 Mei, kesemua kes dilaporkan mempunyai gejala demam, sakit kepala dan sakit otot serta mempunyai sejarah mengunjungi dan menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi terbabit.
Daripada jumlah tersebut, satu (1) kes telah dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut, manakala tiga (3) kes lain menerima rawatan sebagai pesakit luar. Sampel klinikal daripada kes-kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis.
Penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi berkenaan mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit leptospirosis.
Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi berkenaan telah ditutup oleh agensi berkaitan bermula 10 Mei 2026 hingga 17 Mei 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via BernamaJKNNS menasihatkan orang ramai untuk waspada dengan mengamalkan langkah pencegahan berikut:
- Mengelakkan mengunjungi kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan berikutan risiko jangkitan leptospirosis
- Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah merata-rata
- Mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan menggunakan air bersih dan sabun
- Mengelakkan minum atau menggunakan air sungai serta air yang tidak dimasak
- Mengelakkan berenang atau bermain air sekiranya mempunyai luka, serta memastikan luka ditutup dengan pembalut kalis air
- Mengelakkan bermain air atau melalui kawasan lopak dan air bertakung terutama selepas banjir
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan ketika mengunjungi pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala selepas mengunjungi kawasan rekreası.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianLeptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonosis, iaitu penyakit yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, disebabkan oleh bakteria Leptospira
Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar seperti air, tanah, atau makanan, termasuk melalui pengambilan bahan tercemar tersebut.
Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada bakteria Leptospira, antaranya tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab, dan kuda.
Leptospirosis diklasifikasikan sebagai penyakit endemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia. Tempoh pengeraman penyakit ini adalah antara dua (2) hingga 30 hari.
Gejala jangkitan termasuk demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya, muntah, dan cirit-birit.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 