Kerajaan Tawar RM2,000 Untuk Pemilik Kenderaan Lebih 20 Tahun ‘Trade In’ Beli Kereta Baharu
Difahamkan, tawaran berkenaan kemudiannya akan dipadankan oleh kerajaan untuk jumlah manfaat sehingga RM4,000 bagi pembelian kereta baharu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun layak menerima sehingga RM2,000 daripada pengeluar syarikat kereta jenama Malaysia
Menerusi laporan Free Malaysia Today, inisiatif geran padanan yang bernilai RM10 juta ini dilancarkan bertujuan menggalakkan pemilik kenderaan dalam tempoh terbabit untuk melupuskan kereta lama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata tawaran berkenaan kemudiannya akan dipadankan oleh kerajaan untuk jumlah manfaat sehingga RM4,000 bagi pembelian kereta baharu.
Menurut Loke, peruntukan RM10 juta itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 pemilik kenderaan sambil menambah Proton dan Perodua diharap menggunakan sepenuhnya dana berkenaan menjelang pertengahan tahun supaya kementeriannya boleh memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.
Katanya, ramai rakyat Malaysia terus menggunakan kenderaan berusia lebih dua dekad bukan kerana pilihan, sebaliknya disebabkan kekangan kewangan.
"Kenderaan lama lazimnya terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang ciri keselamatan moden serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan. Inisiatif ini bermula serta-merta di bilik pameran Proton dan Perodua," katanya.
Loke berkata, inisiatif berkenaan menggunakan pendekatan geran padanan bagi memastikan tanggungjawab bersama antara kerajaan, pihak industri dan orang awam selain mengoptimumkan penggunaan dana awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Image via Utusan4.075 juta kenderaan atau sekitar 20.7% tidak memiliki lesen kenderaan motor yang aktif selama tiga tahun atau lebih daripada 19.69 juta kenderaan berdaftar di Malaysia setakat 31 Disember 2025
Loke memaklumkan, kenderaan sedemikian boleh dianggap sebagai kenderaan terbiar dan boleh mendatangkan bahaya keselamatan, pencemaran alam sekitar serta gangguan kepada komuniti setempat jika dibiarkan tanpa pengurusan.
Dengan adanya inisiatif ini, yang disokong sistem pembatalan pendaftaran kenderaan secara dalam talian (e-DeREG) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ia membolehkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan secara digital tanpa perlu mengunjungi kaunter.
"Pendigitalan ini menjadikan proses tersebut lebih pantas, telus, selamat, dan mesra pengguna, selain mengurangkan birokrasi dan masa menunggu," katanya.
Tambahnya, kenderaan diganti di bawah program ini akan dilupuskan melalui kemudahan authorised automotive treatment facilities (AATF) bagi memastikan proses peleraian dilakukan secara sah, profesional dan mematuhi piawaian alam sekitar serta mengelakkan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Harian MetroInisiatif untuk menggantikan teksi lama juga bakal dijalankan
Loke berkata, satu inisiatif berasingan akan diperkenalkan untuk menggantikan teksi lama dengan kenderaan baharu.
Di bawah skim itu, teksi lama akan dipadankan dengan kenderaan baharu melalui aturan pembayaran yang mampu milik. Program ini dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan mencecah 820,752 unit, iaitu peningkatan kecil 0.5%, berbanding 816,747 unit yang terjual pada 2024.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan insentif pelupusan kenderaan sehingga RM4,000 di bawah Belanjawan 2026 bagi menggalakkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun menggantikannya dengan kereta nasional baharu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 