Kerajaan Tak Perlu Lagi Bayar RM1.7 Bilion Tunggakan Pencen Kepada Lebih 500,000 Pesara
Mahkamah menyifatkan permohonan pesara terlibat sebagai "penyalahgunaan proses mahkamah".
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu yang sepatutnya menyaksikan kerajaan membayar RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara
Kes itu bermula apabila Aminah Ahmad, bekas pegawai di Kementerian Luar Negeri, bersama-sama 56 pesara lain, memfailkan semakan kehakiman yang memohon pencen mereka diselaraskan berdasarkan formula sebelum 2013, menurut FMT.
Formula ini menghendaki kerajaan menyemak semula pencen pesara selaras dengan pelarasan gaji untuk penjawat awam yang aktif.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu, yang secara efektifnya meluluskan permintaan pesara dan memerintahkan kerajaan membayar tunggakan berjumlah RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara.
Pembayaran itu berdasarkan pelarasan di bawah formula 2013, yang dihujahkan oleh pemohon adalah lebih baik daripada kaedah semasa yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan 2016.

Aminah Ahmad, bekas kakitangan Wisma Putra yang bersara pada tahun 2002, telah mengambil tindakan tersebut pada tahun 2017.
Image via Zahid Izzani/The EdgeKenapa Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut?
Mahkamah Rayuan, dalam keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azhahari Kamal Ramli, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah rayuan memutuskan bahawa perkara itu telah ditentukan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan 2022 yang membatalkan pindaan 2013 kepada Akta Pelarasan Pencen, yang telah memberikan pesara kenaikan tetap tahunan 2%.
Para hakim berkata bahawa permohonan semasa pesara adalah res judicata, satu perkara yang telah diputuskan dan oleh itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Panel bersetuju dengan hujah kerajaan bahawa Pekeliling Perkhidmatan 2016 PP 1/2016 adalah "penambahbaikan" kepada skim perkhidmatan awam dan bukannya semakan gaji mandatori.
Hakim Lim Chong Fong dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan ini terpakai khusus kepada 57 responden dalam kes, bukan semua pesara di seluruh negara.
Mahkamah juga menyatakan bahawa Aminah gagal membuktikan bahawa dia telah mengalami sebarang kerugian daripada pindaan 2013 dan tidak merayu keputusan 2022 pada masa itu.
Macam mana perkara ini akan menjejaskan pesara?
Kerajaan tidak lagi dikehendaki membayar tunggakan pencen RM1.7 bilion yang diperintahkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.
Jumlah pembayaran tunggakan pencen sebanyak RM1.7 bilion, yang diagihkan kepada 531,976 pesara yang terlibat, akan berjumlah purata kira-kira RM3,195 setiap orang.
Walaupun keputusan khusus mahkamah mengenai "penyalahgunaan proses" ditujukan kepada 57 responden, mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bermakna semua 531,976 pesara tidak akan menerima pelarasan yang diwajibkan sebelum ini.
Putrajaya tidak lagi terikat untuk melaraskan pencen berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan 2016 (PP 1/2016), kerana mahkamah bersetuju ia adalah "penambahbaikan" dan bukannya perubahan gaji.
Peguam yang mewakili pesara-pesara terbabit, Baljit Singh Sidhu dan Gurpreet Kaur Pannu berkata mereka berhasrat untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. Kerajaan pula diwakili oleh Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali.

Aminah Ahmad (lima dari kanan) bersama peguam Datuk Dr Abd Shukor Ahmad (kiri) dan Datuk Baljit Singh Sidhu (dua dari kiri) serta pesara lain.
Image via The EdgeLike Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 