Kerajaan Seru PDRM Siasat Program Pride Care, Tolak Usaha Normalisasi LGBTQ Di Malaysia
Kenyataan itu dikeluarkan susulan sebuah acara yang bakal diadakan melibatkan komuniti LGBTQ.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyatakan kerajaan menolak sebarang bentuk normalisasi budaya lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) dalam negara
Menerusi kenyataan yang dikongsikan pada akaun X miliknya, perkara itu dikeluarkan susulan penganjuran program "Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness" yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month.
"Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, sebarang bentuk usaha yang dilihat cuba menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
"Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka. Tindakan penganjuran program sebegini, walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia," katanya.
Image via X
Beri cadangan melibatkan PDRM untuk siasat penganjuran program berkenaan
Tambahnya, beberapa agensi seperti PDRM, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu terlibat dalam menyiasat dan memantau penganjuran program terbabit.
"Saya menyarankan agar pihak berkuasa termasuk PDRM segera menyiasat penganjuran program ini dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
"Penganjur menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat.
"Agensi-agensi agama, termasuk JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri, bersedia memainkan peranan penguatkuasaan, khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.
"Pada masa yang sama, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat kita daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara. Kerajaan MADANI akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat," katanya menerusi kenyataan itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 