Kerajaan Diperintah Bayar RM2.28 Juta, Berlaku Kecuaian Dalam Kelahiran Bayi Di HKL
Kes tersebut melibatkan proses kelahiran di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki mengalami cerebral palsy tahap serius.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah kerajaan untuk membayar ganti rugi lebih RM2.28 juta kepada seorang remaja yang mengalami kerosakan otak kekal
Menerusi laporan Berita Harian, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendapati kerajaan bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) atas tindakan cuai seorang pegawai perubatan muda serta bekas ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan.
Techiong dalam penghakimannya itu berasa hiba apabila menggambarkan keadaan plaintif semasa dibawa ke mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.
Mahkamah dimaklumkan bahawa plaintif, yang dikategorikan dalam tahap paling serius bagi pesakit palsi serebrum, langsung tidak mampu mengangkat kepala dan perlu diberikan makanan melalui tiub sepanjang hayatnya.
"Ketika plaintif dibawa ke mahkamah dalam sebuah kereta sorong bayi semasa perbicaraan, kebanyakan yang hadir termasuk saya selaku hakim perbicaraan, tidak dapat menahan rasa sedih melihat keadaannya," katanya.
Bagaimanapun, Techiong menegaskan sebarang jumlah pampasan mestilah berdasarkan prinsip undang-undang, bukan emosi, serta dikira secara adil agar tidak membebankan pembayar cukai.
"Saya yakin kedua-dua pakar turut bersimpati terhadap plaintif. Namun, dengan penuh hormat, kami harus menolak daripada beremosi apabila membuat penilaian profesional terhadap kes ini.
"Saya mengambil kira bahawa pampasan kepada plaintif perlu selari dengan prinsip undang-undang dan bukan berdasarkan simpati. Tiada ruang untuk memperkayakan plaintif secara tidak adil dengan menanggung beban oleh pembayar cukai," katanya.

Keadaan seorang kanak-kanak yang menghidap palsi serebrum. (Gambar sekadar hiasan)
Image via CNCDoktor gagal buat pembedahan caesarean kecemasan
Tuntutan itu difahamkan telah difailkan oleh ibu plaintif pada Januari 2023 bagi pihak anaknya yang dilahirkan pada 11 Februari 2010.
Plaintif disahkan menghidap palsi serebrum selepas doktor gagal menjalankan pembedahan caesarean kecemasan dalam tempoh yang disyorkan.
Pihak plaintif berhujah bahawa kelewatan menjalankan prosedur itu menyebabkan beliau hilang peluang untuk lahir tanpa mengalami kerosakan otak, manakala pihak defendan menyatakan bahawa pemisahan uri menyebabkan keadaan itu tidak dapat dielakkan.
Pakar yang dipanggil sebagai saksi pula berbeza pendapat mengenai jangka hayat plaintif, dengan seorang menganggarkan 44 tahun manakala seorang lagi mengehadkan kepada 29 tahun.
Mahkamah kemudian memutuskan bahawa kelewatan itu menyebabkan plaintif hilang peluang wajar untuk dilahirkan tanpa komplikasi serius serta menyatakan pegawai perubatan sepatutnya bertindak lebih pantas memandangkan kehamilan itu berisiko tinggi.

Data menunjukkan individu yang menghidap penyakit terbabit mempunyai peratusan sedikit untuk hidup melebihi 29 tahun
Mengenai jangka hayat, Techiong menetapkan maksimum adalah 29 tahun sekali gus menolak pandangan pakar plaintif yang menganggarkan 44 tahun. Menurutnya, data perubatan menunjukkan peluang untuk hidup melebihi 29 tahun hanyalah 26 peratus.
"Saya terpaksa memutuskan bahawa tiada asas kukuh untuk menyokong anggaran jangka hayat plaintif melebihi 29 tahun," katanya.
Mahkamah menganugerahkan RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM458,400 bagi ganti rugi khas, RM51,300 untuk ganti rugi sebelum perbicaraan, serta RM1.47 juta sebagai ganti rugi am masa hadapan.
Techiong turut mengarahkan kadar faedah lima peratus setahun dikenakan terhadap kebanyakan jumlah itu, namun menolak tuntutan ganti rugi teruk (aggravated damages) dengan mengambil kira bahawa keluarga plaintif hanya memfailkan saman selepas lebih sedekad.
Peguam Karhti Kanthabalan dan Abigail Sarah Kumar mewakili pihak plaintif, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Masriwani Mahmud mewakili kerajaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 