Kerajaan Ada 48 Jam Untuk Bayar Ibu Mendiang Bekas Model Dari Belanda RM1.1 Juta
Difahamkan, mendiang ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium itu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan diberi tempoh 48 jam bermula hari ini bagi membayar RM1.1 juta kepada ibu seorang model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut di tingkat enam di sebuah kondominium di Kuala Lumpur lapan tahun lalu
Menerusi laporan Harian Metro, Ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengemukakan prosiding menghina mahkamah, jika kerajaan gagal berbuat demikian.
Ia dinyatakan dalam surat tuntutan Verstappen yang dialamatkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar melalui firma guaman SN Nair & Partners.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain semalam menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi berkenaan dan memerintahkan agar mendepositkan jumlah ganti rugi itu bersama faedah terkumpul ke dalam akaun pelanggan selewat-lewatnya pada hari sama.
Pada 29 Julai lalu, Roz Mawar membuat perintah ganti rugi berkenaan ketika membenarkan saman Verstappen selepas mendapati terdapat kecuaian polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada 2017.
Perintah tuntutan perlu dipatuhi tanpa kompromi
Menurut surat tuntutan tersebut, Verstappen pada mulanya menahan diri daripada menuntut pelaksanaan segera demi memberi ruang budi bicara yang munasabah kepada kerajaan.
Bagaimanapun ia menyatakan, mahkamah menegaskan bahawa perintah bertarikh 29 Julai hendaklah dipatuhi tanpa sebarang kompromi.
"Sehingga surat ini ditulis, pihak peguam masih tidak menerima sebarang pengesahan, maklum balas, atau apa-apa bukti pembayaran berhubung amaun ganti rugi yang diperintahkan.
"Kegagalan ini adalah satu bentuk ketidakpatuhan yang nyata serta boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap perintah mahkamah, memandangkan arahan mahkamah adalah jelas, spesifik dan bersifat serta-merta.
"Selaras dengan arahan anak guam kami, kami dengan ini memberikan notis 48 jam kepada pihak defendan untuk memastikan bahawa amaun penghakiman RM1.1 juta dibayar dan didepositkan ke dalam akaun pelanggan kami sebagaimana diperintahkan Mahkamah Tinggi.
"Sekiranya defendan gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami diarahkan untuk mengambil apa-apa langkah undang-undang yang perlu dan sewajarnya termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi menjamin pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran itu," menurut surat itu.

Verstappen bersama mendiang anaknya.
Image via InstagramTerdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa ditemui
Ketika memutuskan kes saman Verstappen terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Roz Mawar mendapati terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.
Tuntutan saman itu difailkan Verstappen dengan menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan kerajaan Malaysia, mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata anak perempuannya yang berusia 18 tahun ketika itu ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence, Kuala Lumput pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Roz Mawar dalam penghakimannya mengisytiharkan defendan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2019.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan kes itu sebagai 'insiden malang' dan menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali'.
Sequerah kemudian memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.
Verstappen dalam pernyataan tuntutannya menyatakan defendan membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu selepas merumuskan sebagai mati mengejut atau bunuh diri
Pihak plaintif berkata mereka tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara berkenaan amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut.
Katanya, AGC kemudian mengarahkan satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu 'insiden malang'.
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Sequerah mengetepikan keputusan berkenaan.
Dakwanya, defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknya dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.
Verstappen mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 