Kenali Mendiang Jacob Mathan, Daripada Intern Hingga Jadi Pengarah Ladang Farm Fresh
Kehidupannya penuh dengan dedikasi, semangat untuk kebajikan haiwan dan usaha untuk memajukan industri tenusu Malaysia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Perjalanan mendiang Jacob Mathan di Farm Fresh Berhad bermula 13 tahun lalu di ladang Mawai Farm di Johor
Baru sahaja tamat pengajian dari Universiti Malaysia Sabah dengan ijazah dalam sains pertanian, beliau menyertai syarikat, yang ketika itu dikenali sebagai Holstein Milk Company, memegang jawatan sebagai Farm Executive.
Apa yang berlaku selepas itu ialah permulaan kerjaya yang mengagumkan bukan sahaja daripada hasil dari perkembangan pesat malah hasil dedikasinya secara langsung.
Menjelang 2015, Jacob mengetuai Muadzam Shah Cattle Research and Innovation Centre di Pahang, membantu menubuhkan sebuah kemudahan yang akan menjadi penanda aras untuk penternakan tenusu di Malaysia.
Kerjayanya berkembang apabila dilantik menjadi Group Senior Farm Manager pada 2018 dan dinamakan sebagai Farm Director pada 2024, menyelia operasi di seluruh negara dan juga menyokong usaha niaga kumpulan di Australia.
Rakan-rakan sekerja mendiang mengingati Jacob bukan sahaja kerana pencapaian profesionalnya tetapi juga kerana keperibadiannya.
Dalam surat yang diedarkan kepada kakitangan, pengarah urusan kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee menyifatkan mendiang sebagai seorang yang peramah, hormat, dan berbudi bahasa, sambil menyatakan sumbangan pentingnya terhadap bahagian ladang tenusu syarikat itu.

(Dari kiri) Pengarah jualan Farm Fresh Berhad Ding Chai Thong, pengarah operasi kilang Alex Loi, Azmi Zainal, Loi, ketua pegawai kewangan kumpulan Mohd Khairul Mat Hassan dan pengarah ladang Jacob Mathan.
Image via theSunJacob disifatkan sebagai perintis penternakan tenusu yang beretika di Asia
Di bawah bimbingannya, Farm Fresh menjadi syarikat pertama di rantau ini yang memperoleh pensijilan Certified Humane Raised and Handled.
Beliau memperkenalkan inovasi seperti unit pedikur kuku dan sistem kawalan iklim untuk mencegah tekanan haba pada lembu, sentiasa menekankan penjagaan pencegahan berbanding rawatan.
Walaupun berjaya kecapi pelbagai kejayaan dalam bidang profesionalnya, Jacob tetap bawa resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Beliau disifatkan secara meluas sebagai "founding spirit" untuk Farm Fresh, bukti perjalanan 13 tahunnya bersama syarikat itu sejak awal penubuhannya.

Pada 3 Mac lalu, Jacob berada di Filipina untuk meninjau potensi tapak ladang baharu
Ia merupakan sebahagian daripada rancangan Farm Fresh untuk pengembangan ke peringkat antarabangsa.
Malang menimpa, helikopter yang dinaikinya semasa dalam perjalanan terhempas, kejadian itu berlaku pada pagi 3 Mac jam 7.20 pagi berhampiran Pililla di Wilayah Rizal.
Syarikat itu berkata helikopter terbabit mengalami masalah enjin semasa lawatan rutin ke tapak ladang yang berpotensi.
Shawn Pu, Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Filipina, turut berada di dalam helikopter dan mengalami kecederaan tetapi kini berada dalam keadaan stabil, syarikat itu mengesahkan.
Mendiang antara dua penumpang yang terkorban; tiga yang lain terselamat, termasuk juruterbang.
Farm Fresh berkata nahas itu merupakan satu kehilangan yang dahsyat bagi syarikat berkenaan di samping menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 