Keluarga Pelancong India Jatuh Dalam Sinkhole Tuntut Pampasan RM824,000 Daripada Kerajaan
Difahamkan, keluarga mangsa menerima sijil kematian Vijaya Lakshmi semalam, 6 Mei.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keluarga seorang pelancong India yang terjatuh ke dalam lubang benam di Masjid India, Kuala Lumpur pada tahun 2024 menuntut pampasan sebanyak RM824,000 daripada kerajaan persekutuan
Menerusi laporan New Straits Times, Peguam M Partiben, yang mewakili keluarga Vijaya Lakshmi, berkata jumlah itu adalah berdasarkan ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kepada pasangan yang anaknya terbunuh akibat dihempap pokok tumbang pada tahun 2023.
Partiben memberitahu kejadian itu melibatkan kecuaian, sama seperti kes Vijaya.
"Kami menggesa kerajaan, khususnya DBKL, merujuk dan mengambil kira keputusan mahkamah itu dalam menentukan jumlah pampasan yang munasabah bagi kes ini.
"Kita perlu membuat perbandingan dengan kes terbaru itu kerana dalam insiden lubang benam ini, unsur kecuaian memang berlaku membabitkan isu utiliti bawah tanah dan faktor geologi," katanya.
Partiben menambah bahawa beliau berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dan Datuk Bandar DBKL, Datuk Fadlun Mak Ujud untuk membincangkan perkara itu.

Vijaya tidak pernah ditemui selepas mendiang terjatuh ke dalam lubang benam pada 23 Ogos 2024
Operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan selepas sembilan hari atas sebab keselamatan, lapor FMT.
Keluarga Vijaya telah menerima sijil kematian mangsa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam, 6 Mei.
Seorang lagi peguam yang mewakili keluarga itu, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, menggesa kerajaan mempercepatkan proses pampasan atau bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Beliau berkata anak lelaki Vijaya terpaksa berulang kali melakukan perjalanan antara Malaysia dan India untuk menguruskan hal berkaitan sijil kematian sehingga mengakibatkan kos penerbangan dan penginapan yang besar.
Difahamkan, salah seorang ahli keluarga Vijaya baru-baru ini hilang pekerjaan selepas mengambil cuti panjang untuk mengendalikan hal berkaitan kes tersebut.
Pada 27 Februari, keluarga berkenaan telah membuat rayuan terhadap kerajaan untuk mengeluarkan sijil kematian Vijaya supaya tuntutan pampasan dapat diteruskan.
Saifullah sebelum ini berkata Vijaya masih diklasifikasikan secara sah sebagai orang hilang yang menghalang pengeluaran sijil kematiannya.

Dua dari kiri, anak lelaki Vijaya, M Surya.
Image via FMTLike Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 